Ribut Tropika Senyar: Sentiasa waspada, amaran risiko keselamatan penerbangan - CAAM

CAAM menggesa semua pihak berkepentingan sektor penerbangan sentiasa berwaspada dan mengutamakan keselamatan.
PUTRAJAYA: Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) menggesa semua pihak berkepentingan sektor penerbangan sentiasa berwaspada dan mengutamakan keselamatan sepanjang tempoh ribut tropika Senyar yang jarang berlaku itu.
Ketua Pegawai Eksekutif CAAM Datuk Kapten Norazman Mahmud dalam Maklumat Keselamatan (SI) berkata pemantauan berterusan terhadap amaran dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) serta pematuhan ketat panduan CAAM bagi memastikan kesinambungan operasi dan keselamatan penerbangan.
Beliau berkata CAAM telah mengeluarkan nasihat keselamatan kepada semua pengendali penerbangan, pegawai kawalan trafik udara dan pengurus aerodrom susulan ribut tropika Senyar di Selat Melaka, yang turut memberikan amaran mengenai peningkatan risiko keselamatan penerbangan di wilayah barat dan tengah Semenanjung Malaysia dari 27 hingga 29 Nov.
Ribut itu dikesan pada latitud 3.6? Utara dan longitud 99.9? Timur, kira-kira 102 kilometer (km) barat daya Lumut, Perak dan bergerak ke arah timur tenggara merentasi Selat Melaka menuju pantai barat Semenanjung Malaysia dengan kelajuan kira-kira 24 km sejam.
"Fenomena seperti itu jarang-jarang berlaku di Malaysia kerana kedudukannya di kawasan khatulistiwa dan dijangka membawa hujan lebat berterusan, angin kencang serta laut bergelora," kata Norazman dalam SI yang dikeluarkan di sini hari ini.
Menurut CAAM, gabungan ricih angin yang ekstrem, aktiviti perolakan, hujan lebat luar biasa, kilat, perubahan tekanan atmosfera secara mendadak dan jarak penglihatan terhad boleh menimbulkan bahaya serius kepada penerbangan, khususnya ketika fasa berlepas dan pendaratan.
Antara ancaman yang dikenal pasti ialah golakan sederhana hingga teruk, mikroledakan, jarak penglihatan terhad yang memerlukan penggunaan prosedur Peraturan Penerbangan Instrumen (IFR), banjir di landasan dan apron, potensi panahan petir yang menjejaskan pesawat dan operasi darat, gangguan sistem komunikasi, navigasi serta perkhidmatan lapangan terbang termasuk pengendalian darat dan pergerakan penumpang.
Sehubungan dengan itu, CAAM menggesa semua kru penerbangan dan pengendali supaya sentiasa memantau maklumat Significant Meteorological Information (SIGMET) dan Airmen's Meteorological Information (AIRMET), melaksanakan penilaian risiko cuaca prapenerbangan serta berkoordinasi dengan pegawai penyelaras penghantaran bagi mendapatkan data cuaca masa nyata.
"Pegawai kawalan trafik udara telah diarahkan untuk menyampaikan laporan cuaca rutin penerbangan, SIGMET dan laporan angin tepat pada masanya, manakala pengendali aerodrom dinasihatkan memantau kejadian banjir, mengeluarkan notis kepada juruterbang apabila perlu serta menggantung operasi pengendalian darat dan pengisian minyak ketika berlakunya kejadian kilat," menurut SI itu.
Untuk maklumat terkini, orang ramai dan pihak industri boleh merujuk www.met.gov.my atau saluran komunikasi rasmi CAAM.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


