Walaupun sudah genap setahun pemergian Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim, segala kenangan bersama arwah masih segar dalam ingatan dan tidak akan pernah dapat dilupakan.

Itu antara luahan yang disampaikan bapa arwah Adib, Mohd Kassim Abd Hamid, 63 tahun, menjelaskan saat-saat bersama arwah adalah perkara pertama yang muncul di fikirannya apabila setiap kali nama Muhammad Adib disebut dihadapannya.

Walau bagaimanapun, beliau dan keluarganya sentiasa redha dengan ketentuan ini dan menyifatkan kehidupan keluarganya tetap berjalan seperti biasa walaupun tanpa kehadiran arwah Adib disisi.

"Itu kehidupan kami macam biasa, kita tunggu (keputusan) setahun yang lepas, kita cuma duduk tunggu keputusan inkues, pastu dah okay, tunggu keputusan yang betul, kisah sebenar apa yang terjadi, tunggu sahaja, kehidupan kami macam biasa cuma … (tapi) kenangan (bersama Adib) tu adalah … kenangan (ibu bapa) terhadap anak kami."


Mohd Kassim berkata demikian ketika ditemui wakil Astro AWANI di kediamannya di Kampung Tebengau, Kuala Kedah di sini awal pagi tadi.

Sementara itu, pemergian arwah Muhammad Adib, sewaktu bertugas bukan sahaja menghadirkan rasa sayu buat seluruh rakyat negara ini malah ianya merupakan satu kehilangan besar buat penduduk di sekitar kampung asalnya, di Kampung Tebengau di sini.

dan keluarganya sentiasa redha dengan ketentuan ini dan menyifatkan kehidupan keluarganya tetap berjalan seperti biasa walaupun tanpa kehadiran arwah Adib disisi. - Foto Astro AWANI

Menurut Ahli Jawatakuasa Kariah Masjid Kampung Tebengau, Zulkifli Shaari, 59 tahun, ketiadaan insan seperti Muhammad Adib sememangnya dirasai memandangkan arwah merupakan antara anak muda sering ke masjid dan bergaul bersama ahli kariah di situ...

Tambahnya yang juga seorang pesara guru, sikap arwah yang sentiasa merendah diri dan menghormati semua orang juga sangat disenangi penduduk menyebabkan insan yang bernama Muhammad Adib sentiasa dekat di hati mereka.

"Arwah Adib meninggal dunia dalam keadaan tragis, jadi kita sangat terkilan kalau arwah tidak dibela, tidak patut sangat, kena bela juga (bagi) keadilan.

“Arwah ada menyertai semua aktiviti masjid, maklumlah dia kerja kalau cuti baru ikut serta aktiviti,, memang adalah (sertai) dengan ayah dia, sebab ayah dia orang masjid, tiap waktu ada, dan dia pun baik dengan keluarganya sendiri, kereta pun dia bagi, semua dia buat," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Zulkifli turut menyifatkan arwah sebagai seorang yang hebat yang banyak berjasa dan menyenangkan keluarganya walaupun beliau telah meninggal dunia setahun yang lalu.

Tegasnya, dia berharap agar anak muda bukan sahaja di Kampung Tebengau malah di luar sana dapat mencontohi sikap Muhammad Adib yang berani dan sanggup berkorban dalam mempertahankan kesejahteraan negara.

BACA: Genap setahun pemergian Muhammad Adib... apa seterusnya?

Tanggal 17 Disember tahun lalu, sekitar jam 9.41 malam sejarah hitam tercatat buat seluruh rakyat Malaysia, apabila wira negara, Muhammad Adib disahkan meninggal dunia selepas hampir tiga minggu bertarung nyawa di Institut Jantung Negara, Kuala Lumpur.

Allahyarham sebelum itu dilaporkan mengalami kecederaan parah sewaktu menjalankan tugas dalam insiden rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman di Subang jaya, pada 27 November, 2018.