Sebuah Peugeot yang boleh memecut dari rehat hingga 100km/j dalam masa hanya 1.73 saat, hebat kan? Begitulah prestasi yang boleh dinikmati oleh model Peugeot Vision Gran Turismo yang diumumkan baru-baru ini. Begitulah nikmat daripada nisbah kuasa-berat 1:1; ataupun tepatnya adalah 875hp dari sebuah kereta seberat 875kg.

Namun begitu, ini semua hanyalah secara digital. Vision Gran Turismo ini adalah kereta yang khas dapat dilihat menerusi permainan video GT6 yang eksklusif untuk PlayStation 3.

Cuma prestasi dan rekaan kereta ini dibangunkan oleh Peugeot sendiri – iaitu pereka dan jurutera Peugeot Sport. Penggayaannya begitu unik kerana hampir tiada penambahan peralatan untuk membantu nilai aerodinamik padanya. Sebaliknya, badan kereta ini dikatakan mampu untuk menekan kereta ini di permukaan jalan. Ketinggian sekadar 104sm daripada jalan juga membantu.

Enjinnya pula dipasang pada tengah tengah kereta, iaitu sebuah unit V6 3.2-liter yang ditambah pengecas turbo. Output 875hp bersambung kepada kotak gear manual 6-kelajuan kepada keempat-empat tayar. Tayar-tayar tersebut berukuran 22 inci (hadapan) dan 23 inci (belakang).

Pecutan kereta maya ini memang hebat, dan begitu juga sistem breknya yang dilengkapi empat cakera karbon Brembo (380mm di hadapan dan 337mm di belakang). Tapi tiada pula penerangan mengenai angkup atau kaliper yang digunakan.

Anda juga boleh cuba ‘memandu’ kereta ini kelak setelah ia keluar secara rasmi menerusi permainan video GT6 di PlayStation 3. Akan ada tidak kurang 40 litar perlumbaan, dan kereta ini khususnya akan muncul dengan kemaskini percuma untuk Gran Turismo 6. Peugeot Vision Gran Turismo ini akan muncul bersama-sama 15 lagi kereta yang masing-masing direka khas meraikan ulang tahun ke-15 permainan video ini.