KUALA LUMPUR: Ringgit rendah berbanding dolar US pada sesi dagangan awal hari menjelang mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) yang akan berlangsung malam ini.

Pada 9 pagi, ringgit merosot kepada 4.7665/7710 berbanding mata wang Amerika Syarikat (AS) daripada 4.7650/7700 semalam.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata mesyuarat dua hari FOMC itu akan diberi perhatian sebelum pengumuman data senarai gaji bukan ladang (NFP) Amerika Syarikat (AS) yang dijangka menurun kepada 240,000 pada April berdasarkan jangkaan konsensus daripada 303,000 pada bulan sebelumnya.

Mohd Afzanizam berkata sebelum laporan NFP terdapat juga Tinjauan Peluang Pekerjaan dan Jumlah Buruh (JOLTS), diunjurkan menunjukkan peluang pekerjaan yang lebih rendah sebanyak 8.68 juta pada Mac 2024 berbanding 8.76 juta pada Februari.

Selain itu, beliau berkata terdapat indeks pembuatan ISM untuk sektor pembuatan AS yang dijangka menurun sedikit kepada 50.1 mata bulan ini daripada 50.3 mata pada bulan Mac.

"Sehubungan itu, kita boleh menjangkakan ringgit akan disokong dengan baik hari ini. Selain daripada carta teknikal yang mencadangkan keadaan lebih jualan dalam ringgit, data AS yang lebih lemah daripada jangkaan boleh memberikan sedikit sokongan untuk ringgit," katanya.

Mohd Afzanizam berkata sentimen berhati-hati itu dijangka sementara memandangkan Rizab Persekutuan (Fed) AS berkemungkinan mengekalkan pendiriannya yang cenderung untuk menaikkan kadar faedah terhadap dasar monetari.

Pada pembukaan, ringgit kebanyakannya rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.

Unit tempatan naik berbanding yen Jepun kepada 3.0395/0427 daripada 3.0588/0624 ketika ditutup pada Isnin, bagaimanapun turun berbanding pound Britain kepada 5.9843/9900 daripada 5.9710/9773 semalam dan merosot berbanding euro kepada 5.1073/1121 daripada 5.1052/1106 sebelumnya.

Sementara itu, ringgit diniagakan tinggu berbanding mata wang ASEAN.

Ia meningkat berbanding baht Thailand kepada 12.8598/8779 daripada 12.8669/8853 ketika ditutup semalam, melonjak berbanding peso Filipina kepada 8.27/8.28 daripada 8.26/8.27 semalam dan naik berbanding dolar Singapura kepada 3.5035/5071 daripada 3.5039/5081.

Bagaimanapun, ringgit tidak berubah berbanding rupiah Indonesia pada 293.1/293.6 daripada 293.1/293.5 sebelumnya.

-- BERNAMA