KUALA LUMPUR: Ringgit mengakhiri urus niaga Rabu dengan lebih rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) yang juga hari ketiga berturut-turut selain seiring dengan prestasi mata wang serantau.

Perkembangan itu dicatatkan selepas Gabenor Rizab Persekutuan AS Christopher Waller membuat kenyataan bahawa bank pusat negara maju berkenaan tidak berada dalam keadaan tergesa-gesa untuk mengurangkan kadar faedah utamanya.

Walaupun mengakui bahawa kadar inflasi AS "tidak terlalu jauh daripada sasaran dua peratus," Waller sebaliknya menegaskan pendirian Fed yang tidak melihat keperluan mengurangkan kadar faedah dalam masa terdekat ini.

Pada 6 petang, ringgit susut nilai kepada 4.7145/7200 berbanding dolar AS daripada paras 4.6925/6965 yang dicatat semalam.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata kenyataan Waller itu sememangnya diberi perhatian di peringkat global.

"Selain itu, keluaran dalam negara kasar tahun penuh China yang berada pada 5.2 peratus (2022: 3.0 peratus) adalah seiring dengan sasaran kerajaan sekitar 5.0 peratus.

"Namun, wujud persepsi kurang menyakinkan bagaimana usaha penurunan sederhana itu dapat dicapai. Peserta pasaran pula berpendirian berhati-hati terhadap prospek ekonomi China bagi tahun ini dan seterusnya," katanya kepada Bernama.

Atas alasan itu, Mohd Afzanizam berkata langkah atau pilihan memastikan kedudukan lebih selamat susulan ketidaktentuan pasaran, ternyata menjadi keutamaan dan hanya mendorong peningkatan AS dengan kesan sebaliknya terhada ringgit dalam masa terdekat.

Pada masa sama, pengumuman data jualan runcit AS pada malam ini akan menjadi tumpuan dengan ramai menjangkakan kenaikan 0.4 peratus bulan ke bulan pada Disember berbanding 0.3 peratus November.

"Sekiranya angka itu jauh lebih baik daripada jangkaan awal, ini akan hanya memberi sokongan lanjut kepada dolar AS," katanya.

Sementara itu, Rakan Pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata ringgit mencatatkan penurunan ketara dan memaparkan aliran dialami oleh mata wang serantau lain.

Beliau berkata penurunan dari segi risiko global susulan ulasan Waller itu, menunjukkan kemungkinan penangguhan bagi pengurangan kadar faedah berbanding jangkaan pasaran.

"Sentimen itu memberi kesan sebaliknya kepada pasaran Asia pada Rabu yang diburukkan lagi dengan kebimbangan mengenai deflasi di China.

"Keputusan People's Bank of China untuk berkecuali daripada penurunan kemudahan pembiayaan jangka pertengahan pada awal minggu ini, hanya meningkatkan lagi kebimbangan mengenai pilihan strategi yang ada untuk pemulihan ekonomi," katanya.

Pada akhir urus niaga hari ini, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding kumpulan mata wang utama.

Nilai ringgit susut sedikit berbanding euro pada paras 5.1284/1344 daripada 5.1073/1117 semalam dan rendah berbanding pound Britain kepada 5.9799/9868 daripada 5.9299/9350, namun mengukuh berbanding yen Jepun kepada 3.1919/1959 daripada 3.2013/2043 sebelum ini.

Ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding mata wang Asean termasuk turun berbanding baht Thailand kepada 13.2795/3010 daripada 13.2579/2748 sebelum ini dan susut sedikit berbanding dolar Singapura pada 3.5081/5127 daripada 3.5003/5038 pada penutupan Selasa.

Unit tempatan itu rendah berbanding peso Filipina kepada 8.43/8.45 daripada 8.40/8.42 dan turun berbanding rupiah Indonesia kepada 301.3/301.8 daripada 300.9/301.3.

-- BERNAMA