KUALA LUMPUR: Ringgit meneruskan aliran menurunnya hari ini untuk ditutup rendah berbanding dolar AS berikutan sentimen positif yang berterusan terhadap mata wang negara maju itu, dipacu oleh data jualan runcit Amerika Syarikat (AS) yang kukuh pada Mac, dalam persekitaran kebimbangan ketegangan di Asia Barat, kata seorang penganalisis.

Pada 6 petang, ringgit susut kepada 4.7945/7970 berbanding dolar AS 4.7785/7815 ketika ditutup pada Isnin.

Jualan runcit AS meningkat 0.7 peratus pada Mac kepada AS$709.6 bilion selepas semakan semula kenaikan pada Februari kepada 0.9 peratus.

Ketua ahli ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata data jualan runcit AS yang kukuh menunjukkan bahawa jangkaan pemotongan kadar AS oleh Rizab Persekutuan semakin mereda.

"Ini sudah tentu menyebabkan permintaan lebih tinggi untuk dolar AS yang menyaksikan Indeks Dolar AS (DXY) meningkat 0.16 peratus kepada 106.373 mata," katanya kepada Bernama.

Beliau juga menyatakan bahawa kebimbangan terhadap ketegangan Asia Barat akan memberikan tekanan ke atas mata wang pasaran pesat membangun susulan permintaan terhadap mata wang selamat seperti dolar AS semakin meningkat.

"Gabungan data ekonomi AS yang kukuh dan pergerakan pasaran adalah faktor utama yang memacu pasaran mata wang pada masa ini," kata beliau.

Pada penutup dagangan, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ia menyusut berbanding euro kepada 5.0966/0992 daripada 5.0915/0947 ketika ditutup pada Isnin, menurun berbanding pound Britain kepada 5.9701/9732 daripada 5.9660/9697, namun menokok berbanding yen Jepun kepada 3.1020/1038 daripada 3.1053/1075 semalam.

Bagaimanapun, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang negara ASEAN.

Mata wang tempatan itu merosot berbanding bhat Thai kepada 13.0858/13.0983 daripada 13.0148/13.0286 ketika ditutup pada Isnin, menurun berbanding dolar Singapura kepada 3.5135/5156 daripada 3.5123/5148 semalam, tetapi tidak berubah berbanding peso Filipina pada 8.41/8.42 dan mengukuh berbanding rupiah Indonesia kepada 296.3/296.6 daripada 301.4/301.8 sebelumnya.

-- BERNAMA