Pengumuman pelumba muda Indonesia Rio Haryanto, 22 tahun, sebagai satu daripada dua pemandu tetap Manor F1 sekarang hanya sekadar satu formaliti setelah Kementerian Pemuda dan Olahraga Republik Indonesia (Kemenpora) sah memberi jaminan kewangan khusus untuk tujuan itu.

Berdasarkan pengumuman di laman web Kemenpora, hal ini telah dipersetujui setelah pegawai kementerian menerima kunjungan daripada ibu-bapa serta pengurus Rio di Jakarta.

https://twitter.com/imam_nahrawi/status/675218165350195200Bismillah semoga lancar,saya tanda tangan sebagai jaminan untuk memastikan @RHaryantoracing masuk F1.

Posted by Rio Haryanto on Friday, 11 December 2015



Sokongan kewangan yang dimaksudkan bernilai €15 juta yang akan dibayar beransur-ansur bagi membolehkan Rio berlumba bagi musim 2016. Selain menjadikan Rio seorang pelumba F1 tetap, ia membolehkan pemerintah Indonesia menggunakan ruang di atas jentera lumba Manor dan pakaian mereka sebagai platform promosi negara tersebut.

Sumber kewangan ini dijaminkan Kemenpora melalui pembiayaan oleh BUMN (sebuah entiti yang menguruskan perusahaan bagi pihak pemerintah) dan juga Pertamina, selaku penaja terbesar Rio.

Sejak 2012 Rio Haryanto terlibat di dalam siri GP2 (sekarang bersama Campos Racing). Pengalaman pertama kali beliau memandu jentera F1 adalah bersama pasukan Virgin Racing pada tahun 2010 selaku pemandu uji.

Hubungan beliau bersama Manor F1 bermula sejak 2011 di dalam siri GP3 sebelum diberi kepercayaan untuk menjadi pemandu uji. Bahkan, Rio telah diberi peluang sebagai pemandu uji Manor ketika sesi ujian tayar kendalian Pirelli di Abu Dhabi bulan lepas dengan jentera MR03B.

Bagi musim 2015 yang baharu tamat, Manor F1 diwakili oleh Will Stevens dan Roberto Merhi (dan bagi beberapa perlumbaan, Alexander Rossi menggantikan Roberto).

Untuk musim 2016 yang bakal bermula pada bulan Mac di Australia, Manor F1 belum lagi mengumumkan barisan rasmi pelumba mereka. Belum diketahui bila Rio akan diisyiharkan sebagai pemandu Manor secara rasmi.

Ini satu peluang peribadi Rio yang sangat hebat bukan sahaja kerana akan menjadi pemandu F1 pertama daripada Indonesia; juga kerana kereta lumba musim 2016 Manor F1 akan menggunakan enjin Mercedes yang terbukti sebagai terbaik di atas grid.

(Klik untuk imej penuh)


Gambar: Facebook Manor F1, Juara.net