IPOH: Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) membuka kertas siasatan terhadap Ibrahim Mat Zin atau gelarannya Raja Bomoh berhubung ritual menolak musibah banjir yang dilakukan di Dataran JPS di Teluk Intan seperti yang tular di media sosial pada Rabu.

Pengarahnya, Datuk Mohd Yusop Husin berkata, kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 14 Enakmen Jenayah Syariah Perak 1992 atas kesalahan mencela dan menghina agama Islam.

"JAIPk membuka kertas siasatan berhubung perkara ini. Orang ramai dinasihatkan agar tidak terpengaruh dengan perkara-perkara seumpama ini dan menjauhi apa juga amalan yang menjurus kepada khurafat," katanya hari ini.

Video berdurasi 25 minit yang tular di laman sosial Facebook itu memperlihatkan Ibrahim bersama seorang wanita dikenali sebagai 'Puteri Zaleha' membuat ritual tepung tawar dipercayai untuk menolak kejadian banjir.

BACA: Raja Bomoh kembali lagi, kali ini dengan 'Puteri Zaleha' buat ritual tolak bala

Berdasarkan video itu, mereka turut menggunakan bahan-bahan seperti beras, kunyit, bunga dan daun-daun kayu di samping kelihatan naskhah kitab suci al-Quran dan surah Yassin di hadapan mereka.

Ibrahim yang memakai kot hitam beserta tengkolok dan berselempang merah menyebut upacara yang dijalankan itu adalah upacara petua-petua di zaman dahulu.

"Kita minta semua tempat di Malaysia turun air, bukan kata di Teluk Intan sahaja, tapi seluruh Malaysia, seluruh kepulauan Melayu dan seluruh dunia," katanya dalam rakaman video berkenaan.

Dalam rakaman itu, Zaleha juga didengar menyanyikan lagu Mayang Sari.