IPOH: Seorang pesara wanita mengalami kerugian sebanyak RM1.4 juta setelah diperdaya 'phone scam' yang menyamar sebagai pekerja syarikat kurier dan pegawai polis sejak tiga tahun lalu.

Menurut Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri, siasatan polis mendapati mangsa berusia 62 tahun itu ditipu individu terbabit sejak Mac 2020, dengan membuat panggilan telefon kononnya bungkusan miliknya bermasalah.

"Polis Perak menerima laporan dariapda wanita tersebut pada 12 September (semalam) berhubung kes itu.

"Pada 27 Mac 2020, semasa mangsa berada di rumah di Taman Wah Keong, di sini, mangsa menerima panggilan telefon daripada seorang individu yang tidak dikenali.

"Suspek memperkenalkan diri sebagai pekerja syarikat kurier dan menipu bahawa mangsa mempunyai satu bungkusan yang bermasalah.

"Kemudian, mangsa telah membuat pengesahan kepada nombor telefon palsu kononnya dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah yang diberikan oleh pekerja syarikat kurier," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Mohd Yusri berkata, individu yang menyamar sebagai pegawai polis memaklumkan mangsa terbabit dalam kes jenayah pengubahan wang haram dan dadah.

Malah, mangsa turut ditunjukkan dokumen waran tangkap mahkamah atas namanya sehingga menyebabkan dia mempercayai perkara tersebut.

"Sepanjang urusan mangsa dengan 'Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah', dia telah berkomunikasi dengan lima suspek yang menyamar sebagai pegawai polis dengan perwatakan berlainan.

"Mangsa telah mendedahkan semua maklumat sulit tentang akaun bank dan akaun dompet digital (digital wallet) kepada kesemua suspek serta mengikut arahan membuat pemindahan wang ke pelbagai akaun bank milik individu lain," katanya lagi.

Tambahnya, mangsa hanya sedar tentang penipuan itu setelah menunggu sekian lama kononnya seorang suspek tersebut akan datang berjumpa dengan pengadu di Ipoh sejak tahun 2020 lagi.

Susulan itu, mangsa mengalami kerugian kira-kira RM1,417,019.84 dalam bentuk wang dan USDT.

Katanya lagi, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

"Sehubungan itu, sekali lagi polis Perak ingin memberi amaran kepada masyarakat umum supaya sentiasa berwaspada terhadap panggilan telefon yang mencurigakan.

"Khususnya panggilan telefon yang kononnya dari agensi kerajaan.Orang ramai diingatkan bahawa agensi kerajaan tidak akan meminta maklumat akaun bank peribadi daripada orang awam, mahupun meminta orang awam untuk melakukan pemindahan atau pembayaran wang ke akaun bank lain," katanya.

Orang ramai boleh menyemak akaun bank dan nombor telefon yang mungkin terbabit dalam kes penipuan melalui pautan https://semakmule.rmp.gov.my.