Skip to main content

Malaysia

RM1 bilion percepat pendigitalan kesihatan awam, manfaat ribuan pesakit sehari - MCMC

SEREMBAN, 5 Feb - Petugas klinik membantu pelanggan yang hadir bagi menggunakan perkhidmatan perubatan di Klinik Kesihatan UTC Seremban hari ini. Kementerian Kesihatan (KKM) terus melaksanakan transformasi dalam memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat apabila berjaya mengurangkan tempoh menunggu dari tiga jam kepada 30 minit di klinik kerajaan. Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, pencapaian itu dicapai KKM menerusi pelaksanaan agenda transformasi digital kesihatan. - fotoBERNAMA (20
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berkata pengumuman peruntukan tambahan itu penting dalam merealisasikan aspirasi ‘Satu Individu, Satu Rekod’. - Gambar BERNAMA.
Advertisement

KUALA LUMPUR: Usaha pendigitalan sektor kesihatan awam yang dirancang sehingga 2045 dijangka dapat dipercepatkan ke tahun hadapan susulan tambahan peruntukan RM350 juta oleh kerajaan.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berkata, peruntukan tambahan itu menjadikan keseluruhan dana bagi mempercepat pendigitalan kesihatan awam kepada RM1 bilion.

Menurutnya, tambahan kepada peruntukan awal RM650 juta itu akan memperkukuh pelaksanaan Pemacu Ekosistem dan Ketersambungan Kesihatan Digital Negara (PERSADA).

“Langkah ini penting dalam merealisasikan aspirasi ‘Satu Individu, Satu Rekod’, sekali gus membolehkan maklumat kesihatan pesakit diakses dengan lebih cekap dan terselaras merentas fasiliti kesihatan awam,” katanya menerusi kenyataan yang disiarkan hari ini.

Peruntukan berkenaan turut meliputi usaha memperluas ketersambungan Internet dan pelaksanaan sistem Rekod Perubatan Elektronik (EMR) dalam sektor kesihatan awam.

Menurut MCMC, pendigitalan perkhidmatan kesihatan dapat memudahkan urusan rawatan, mengurangkan masa menunggu serta kos tidak langsung, khususnya bagi golongan B40 dan M40.

Usaha itu dijangka memberi manfaat kepada lebih 300,000 pesakit setiap hari yang mendapatkan perkhidmatan di klinik kesihatan dan hospital awam.

MCMC berkata, pihaknya akan terus bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta pemain industri bagi membangunkan ekosistem kesihatan awam digital yang kukuh, saling berhubung dan bersedia untuk masa hadapan.

Kenyataan itu menyusuli pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai peruntukan RM1 bilion bagi memperkukuh kecekapan digital sektor kesihatan awam.

Peruntukan itu antara lain melibatkan pelaksanaan sistem rekod perubatan elektronik serta penyediaan ketersambungan Internet di 150 hospital dan lebih 2,000 klinik kesihatan awam.

Must Watch Video

Advertisement