PUTRAJAYA: Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) memperuntukkan RM10 juta bagi usaha membaik pulih sistem pembetungan yang terjejas akibat banjir yang melanda Lembah Klang dan beberapa negeri.

SPAN berkata berdasarkan laporan awal, impak daripada banjir besar itu telah menyebabkan kerosakan kepada kira-kira 200 loji rawatan kumbahan (LRK) selenggaraan syarikat pembetungan nasional, Indah Water Konsortium (IWK) Sdn Bhd.

Antara kerosakan bagi aset pembetungan awam pasca banjir yang telah dikenal pasti termasuklah peralatan loji, panel elektrik, pagar, tembok batu loji, struktur loji, paip, lurang pembetungan serta jalan laluan masuk dan infrastruktur loji.

"Proses baik pulih kerosakan oleh IWK telah pun bermula dan LRK terjejas dijangka akan kembali beroperasi seperti biasa sebaik sahaja peralatan diganti dan bekalan tenaga elektrik pulih namun memerlukan sedikit masa untuk tujuan pelaksanaan," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Banjir melanda Lembah Klang sejak Sabtu lepas (18 Dis) susulan hujan lebat berterusan menyebabkan ribuan penduduk dipindahkan manakala ramai pengguna jalan raya terkandas akibat laluan terjejas kerana dinaiki air.

Banjir turut dilaporkan berlaku di Pahang, Melaka, Negeri Sembilan, Terengganu, Kelantan dan Perak.

SPAN berkata bagi memudahkan urusan mangsa banjir, pihaknya dengan kerjasama IWK telah mengusahakan penempatan 32 tandas bergerak di lapan pusat penempatan sementara (PPS) di sekitar Selangor dan Pahang.

"Orang ramai dinasihatkan mengambil langkah berjaga-jaga ketika menjalankan aktiviti mencuci rumah atau premis perniagaan, bagi mengelakkan sebarang implikasi dari pencemaran air dan penyakit bawaan air pasca banjir," katanya.

SPAN adalah badan kawal selia teknikal dan ekonomi yang menyelia dan mengawal selia perkhidmatan bekalan air dan perkhidmatan pembetungan di Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Labuan.

-- BERNAMA