PUTRAJAYA: Bantuan RM1,000 mungkin memberi sedikit kelegaan kepada pemandu teksi, namun di sebalik kegembiraan menerima wang tunai itu, tersimpan kisah perjuangan mencari rezeki dalam industri yang semakin mencabar.
Bagi mereka, setiap ringgit bukan sekadar tambahan pendapatan, malah sebagai peluang menampung perbelanjaan keluarga, menyelenggara kenderaan dan meneruskan kehidupan.
Pemberian Bantuan Khas Kewangan secara sekali bayar yang diumumkan menerusi Belanjawan 2027 itu disambut baik, khususnya ketika kos sara hidup terus memberi tekanan kepada golongan berpendapatan tidak tetap.
Namun, tinjauan Astro AWANI mendapati bantuan berkenaan turut membuka ruang kepada pemandu berkongsi realiti sebenar industri teksi yang semakin terhimpit akibat persaingan e-hailing.
Kais pagi makan pagi, hujan pula kurang penumpang
Bagi Abdul Aziz Mat Amin, 65, pendapatan sebagai pemandu teksi tidak pernah menentu kerana bergantung kepada keadaan cuaca dan jumlah penumpang setiap hari.
Katanya, bantuan kerajaan amat bermakna kerana beliau masih perlu bekerja keras menyara keluarga, termasuk seorang anak yang mempunyai sindrom Down.
“Kita pemandu teksi ini ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Kalau hujan, kuranglah. Kalau cuaca baik, cantiklah,” katanya.
Namun, di sebalik penghargaan terhadap bantuan itu, beliau berharap kerajaan meneliti masalah perlindungan insurans komprehensif bagi teksi berusia melebihi 10 tahun.
Menurutnya, keadaan itu menyukarkan pemandu apabila tempoh penggunaan teksi boleh dilanjutkan sehingga 15 tahun, tetapi perlindungan insurans komprehensif semakin sukar diperoleh.
15 tahun memandu, harga barang terus menghimpit
Bagi Fauziah Md Rasid, 50, yang sudah 15 tahun mencari rezeki sebagai pemandu teksi di Kuala Lumpur, kenaikan harga barang menjadi antara tekanan terbesar dalam kehidupan seharian.
Katanya, bantuan RM1,000 sekurang-kurangnya dapat meringankan perbelanjaan keluarga dan menampung sebahagian kos membaiki kenderaan.
“Macam saya sendiri bawa teksi, dengan perbelanjaan sekarang, makanan pun dengan harga barang yang naik, agak tertekan juga,” katanya.
Penumpang semakin kurang, teksi semakin dilupakan
Sementara itu, Gunasegaran Munisamy, 64, mengakui persaingan perkhidmatan e-hailing semakin menyukarkan pemandu teksi konvensional mendapatkan penumpang.
Bapa kepada tiga anak itu berkata, kemudahan aplikasi tempahan menyebabkan semakin ramai pelanggan beralih kepada perkhidmatan berkenaan, sekali gus menjejaskan pendapatan pemandu teksi.
Bagi Hong Song Leong pula, bantuan RM1,000 dapat digunakan untuk menampung perbelanjaan kenderaan serta keperluan persekolahan anak ketika kos kehidupan semakin membebankan.
Bukan sekadar bantuan, industri teksi perlu berubah
Mohamad Azuan Abdullah, 46 yang menjadi pemandu teksi sejak 2011, berpandangan industri itu tidak boleh terus bergantung kepada pendekatan lama ketika masyarakat semakin memilih perkhidmatan e-hailing.
Bapa tunggal kepada dua anak itu berkata, pemandu teksi perlu menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi, selain berharap kerajaan mempertimbangkan bantuan penyelenggaraan seperti tayar dan sokongan kewangan berkala.
“Kalau kerajaan boleh bantu kami dari segi bantuan tayar ataupun bantuan berkala kepada pemandu teksi. Ia sangat-sangat membantu kami,” katanya.
Baginya, RM1,000 mungkin tidak mampu menyelesaikan semua masalah, namun cukup untuk membantu menampung kos kenderaan dan persiapan persekolahan anak-anak menjelang hujung tahun.
Hakikatnya, bantuan sekali bayar memberi ruang untuk pemandu teksi menarik nafas lega, tetapi cabaran sebenar masih menanti di jalan raya, apabila setiap perjalanan perlu diterjemahkan kepada pendapatan untuk keluarga.