MALAYSIA
RM1.27 bilion untuk Negeri Sembilan - PM Anwar

Anwar (tengah) bersama Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (kiri) dan Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun (kanan) ketika hadir pada Rumah Terbuka Aidilfitri Negeri Sembilan hari ini. - Foto BERNAMA
SEREMBAN: Kerajaan Persekutuan memperuntukkan sebanyak RM1.27 bilion kepada pembangunan dan sosioekonomi Negeri Sembilan bagi menyelesaikan beberapa tumpuan mendesak di negeri itu.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata peruntukan termasuk tambahan RM0.9 bilion bagi sektor pembangunan itu melibatkan projek jalan baharu, kerja-kerja membaik pulih fasiliti pendidikan dan kesihatan di seluruh negeri serta penyelesaian projek perumahan mampu milik.
“Saya nak sebut pembangunan ekonomi Negeri Sembilan dan tadbir urus berjalan dengan teratur dan kajian separuh penggal yang akan dibentangkan tahun ini akan diberikan tumpuan kepada perkara-perkara mendesak.
“(Jadi) peruntukan pembangunan Negeri Sembilan hampir RM1 bilion iaitu tambahan keseluruhan (melibatkan) projek-projek baru antaranya Jalan Susur dari Tol Baharu Seremban ke Lingkaran tengah Seremban bernilai RM600 juta dan pembinaan jalan dan jambatan Sungai Sepang bagi menghubungkan Bukit Pelandok, Port Dickson dengan Sungai Pelek bernilai RM160 juta,” katanya.Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Kerajaan Negeri Sembilan dan Malaysia Madani di Wisma Majlis Bandaraya Seremban di Forest Height di sini, hari ini.
Turut hadir pada majlis itu ialah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun serta barisan kepimpinan negeri.
Mengulas lanjut katanya, fasiliti Kementerian Pendidikan turut diberi perhatian khusus yang melibatkan peruntukan sebanyak RM280 juta.
“Kos bagi pembinaan fasiliti pendidikan itu termasuk membina semula sekolah daif dan memperkukuhkan pendidikan khas,” katanya.
Selain itu, isu pembangunan projek 891 unit residensi Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) yang terbengkalai sejak tahun 2015 lalu juga telah diselesaikan dan akan dapat dihuni seawal 1 Jun ini.
“Di Negeri Sembilan ini residensi PR1MA menghadapi masalah panjang kerana perbalahan antara PR1MA dan tanah rizab kereta api sejak 2015 lagi tidak boleh selesai.
“Jadi dengan keputusan kita (kerajaan), 891 unit yang tidak dapat dimasuki penghuni kerana perbalahan ini akan kita selesaikan 1 Jun ini,” ujarnya.
Dalam pada itu ujarnya, klinik kesihatan yang daif melibatkan daerah Jempol, Jelebu, Kuala Pilah, Port Dickson, Rembau, Seremban dan Tampin serta beberapa penambah baikan masjid juga akan dilakukan.
“Menteri Besar bising dengan saya kata namanya Klinik Kesihatan tetapi banyak (bangunan) yang nampak tidak sihat, jadi kita siapkan perbelanjaan 42 kemudahan melibatkan perbelanjaan RM5.8 juta.
“Beberapa masjid juga dinaik taraf melibatkan kos RM318 juta dan menjadikan jumlah pembangunan dan sosioekonomi sebanyak RM1.27 bilion,” katanya lagi.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami