TUARAN: Kerajaan telah meluluskan peruntukan berjumlah RM2.2 juta bagi membangunkan dua projek baharu dalam memelihara dan melindungi warisan budaya Sabah pada tahun ini, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

Beliau berkata projek diluluskan menerusi Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 itu antara usaha memartabatkan warisan budaya Sabah sebagai lambang ketamadunan negeri.

Menurut Hajiji sebanyak RM2 juta diperuntuk bagi melaksanakan projek Pembangunan Sistem Pemetaan Budaya Bersepadu Negeri Sabah, manakala projek Kajian Restorasi Bangunan Pejabat Lama Pejabat Perkhidmatan Kebajikan pula membabitkan RM200,000.

"Projek pemetaan ini bertujuan mentransformasikan kaedah pengurusan maklumat budaya etnik Sabah kepada sistem maklumat moden selaras dengan Pelan Pendigitalan Kerajaan.

"Kajian itu pula akan menyaksikan pembangunan semula bangunan bersejarah - Pejabat British North Borneo Chartered Company yang ketika dahulu musnah oleh kebakaran," katanya ketika berucap merasmikan Festival Kebudayaan Rumpun Bajausama Sabah di sini hari ini.

Hajiji berkata pembangunan semula bangunan itu juga bertujuan memulihara dan melindungi tapak serta bangunan bersejarah, selain akan menjadi galeri seni budaya yang penting di negeri ini, dengan kedua-dua projek baharu tersebut dipertanggungjawabkan kepada Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah.

Beliau berkata kerajaan melaksanakan pelbagai usaha untuk memastikan sasaran kehadiran tiga juta pelancong ke Sabah pada tahun ini tercapai.

Selain kesenian dan kebudayaan sebagai aset penting tarikan pelancong, katanya Pelancongan Berasaskan Komuniti juga merupakan segmen ekopelancongan yang semakin mendapat perhatian daripada pelbagai lapisan masyarakat tempatan mahupun antarabangsa.

Justeru, Ketua Menteri menggesa persatuan etnik di negeri itu untuk terus membangun dan memartabatkan budaya etnik serta produk pelancongan berasaskan komuniti di kawasan masing-masing seterusnya bekerjasama memperkasakan keistimewaan serta keunikan warisan budaya Sabah.

Mengulas berkenaan festival yang berlangsung sejak Ahad lepas, Hajiji yang juga Presiden Persatuan Rumpun Bajausama Sabah berharap ia mampu menjadi medan untuk memulihara khazanah budaya negeri, selain medium menarik minat generasi muda untuk terlibat dalam pelbagai acara keseniaan dan kebudayaan etnik berkenaan.

"Ia juga sejajar dengan objektif penganjuran festival ini iaitu untuk memulihara dan memartabatkan budaya tradisi serta mengeratkan silaturahim dalam kalangan penduduk setempat.

"Festival ini yang telah pun dimasukkan ke dalam kalendar pelancongan, tidak hanya dihadiri oleh rumpun Bajausama, malah turut dimeriahkan oleh semua lapisan masyarakat berbilang kaum dan keturunan di negeri ini," katanya.

-- BERNAMA