IPOH: Kerajaan negeri Perak hari ini mengumumkan dana sebanyak RM2.67 juta bagi meneruskan program bantuan makanan percuma kepada calon peperiksaan utama pada tahun ini di bawah pelaksanaan inisiatif Tuisyen Cikgu Saarani (TCS).

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, program tersebut dijangka memberikan manfaat kepada 26,628 calon bagi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Pelajaran Vokasional Malaysia (SPVM), Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dari 238 buah sekolah di seluruh negeri Perak.

Menurutnya, program bantuan makanan percuma di bawah inisiatif TCS yang sudah masuk tahun ketiga pelaksanaannya telah memanfaatkan kira-kira 200,000 orang pelajar.

“Pelajar yang terlibat akan menerima makanan tengah hari pada kadar RM5 seorang selama 20 hari semasa sesi kelas tambahan, kelas intensif dan tuisyen bermula dari cuti penggal ketiga sesi 2023/2024 sehingga ke tarikh peperiksaan yang dijadual berakhir pada Mac 2024,” katanya dalam sidang media selepas majlis penyerahan sumbangan itu di pejabatnya di sini, hari ini.

Menurut beliau, sumbangan bagi menjayakan inisiatif itu diterima daripada Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (SSI), Lembaga Air Perak (LAP), Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (Perak SADC), Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk) dan Perbadanan Menteri Besar (MBInc.)

Katanya, dana berkenaan disalurkan melalui akaun amanah Tabung Didik Sejahtera Perak dan setiap sumbangan yang disalurkan turut menerima pengecualian cukai pendapatan syarikat.

“Sejak diperkenalkan pada tahun 2021, program ini telah membantu peningkatan tahap pencapaian murid dalam semua peperiksaan awam di sekolah-sekolah yang terlibat dan membantu merapatkan jurang pencapaian di antara sekolah bandar dan luar bandar.

“Selain itu, ia turut membantu mengurangkan beban kewangan ibu bapa untuk menyediakan wang saku kepada murid-murid bagi mengikuti program-program semasa cuti penggal tersebut,” ujarnya.

Katanya, Yayasan Perak dilantik sebagai agensi yang dipertanggungjawabkan melaksanakan program-program pendidikan termasuk di bawah TCS dan berkolaborasi dengan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) yang bertindak menyelaraskan penyaluran bantuan makanan itu ke sekolah-sekolah terlibat.

Selain program bantuan makanan percuma, kata Saarani, Yayasan Perak juga akan menyelaras semua program di bawah TCS dan akan terus menambah baik pelaksanaannya dari semasa ke semasa bagi mencapai hasrat, objektif, keperluan, akses pendidikan dan meningkatkan pencapaian bagi golongan sasar.