SUNGAI SIPUT: Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) memperuntukkan RM20 juta kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) seluruh negara bagi kerja-kerja penyelenggaraan longkang dan sistem perparitan untuk mengelakkan kejadian banjir kilat.

Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata pada bulan lepas beliau telah menggesa kesemua PBT untuk segera menyelenggara longkang utama menjelang musim Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka bermula November ini.

"Kita semua maklum bahawa kita semua berada di ambang ketibaan Monsun Timur Laut. Sejak bulan lepas saya telah menggesa semua 155 PBT untuk segera menyelenggara longkang-longkang utama bagi mengelakkan kejadian banjir kilat di bandar," katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja sempena Program Sentuhan Kasih KPKT ke Sungai Siput di sini semalam.

Nga berkata kerja-kerja penyelenggaraan itu sedang berjalan dan beliau masih menunggu laporan perkembangan hasilnya.

"Saya nak minta semua arahan dikeluarkan untuk memantau kerja-kerja kontraktor kita supaya mereka betul-betul menjalankan kerja mengikut jadual berkala yang telahpun ditetapkan mengikut kontrak masing-masing," katanya.

Pada masa sama, Nga berkata beliau yakin pegawai yang terlibat dengan bencana banjir akan sentiasa memantau keadaan di kawasan masing-masing dan meminta semua pegawai turun padang bagi menyelami perasaan serta mendengar rintihan hati rakyat.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) sebelum ini menjangkakan empat hingga enam episod hujan lebat melanda negara bermula November hingga Februari 2024, yang berpotensi mengakibatkan banjir di kawasan berisiko.

Sementara itu berkenaan program semalam, Nga mengumumkan peruntukan sebanyak RM11.03 juta melibatkan projek yang akan dilaksanakan Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (MPKK) di kawasan Sungai Siput.

Beliau berkata antaranya projek baik pulih rumah kampung dalam daerah Sungai Siput, projek bina baharu rumah, projek pembangunan di kampung-kampung baru, projek menyelengara kolam tadahan, penyelenggaraan lampu jenis LED kepada MPKK dan peruntukan Inisiatif Rumah Ibadat Bukan Islam (RIBI) kepada Kuil Hindu Sri Subramanyar Alaya Devasthana Paribalana Saba Sungai Siput (U).

-- BERNAMA