SUNGAI SIPUT: Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) memperuntukkan sejumlah RM23.86 juta untuk kerja-kerja pembaikan kritikal di 11 lokasi jalan raya dan runtuhan cerun dari Kampung Bawong sehingga ke Rancangan Penempatan Semula (RPS) Pos Legap, di sini.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Negeri, Datuk Mohd Zolkafly Harun, berkata projek pembaikan cerun dan jalan itu dijangka siap sepenuhnya pada Mac 2025 dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) Perak telah dipertanggungjawabkan sebagai agensi pelaksana.

"Jalan ini juga merupakan laluan utama ke pusat pelancongan yang popular iaitu Kuala Mu dan Pos Yum. Jadi, sudah tentu keselamatan pelancong dan pengguna jalan raya perlu dititikberatkan," katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis pecah tanah projek pembaikan cerun dan jalan berkenaan, di sini, hari ini.

Mohd Zolkafly berkata antara faktor cerun dan jalan di sepanjang laluan itu rosak teruk adalah disebabkan pengukuhan struktur tanah yang tidak kuat dan menyebabkan ia mudah runtuh selain kadar taburan hujan yang agak tinggi sejak kebelakangan ini menyebabkan berlaku kekerapan runtuhan tanah di kawasan berkenaan.

Sementara itu, Mohd Zolkafly berkata kira-kira RM200 juta diperuntukkan oleh KPLB untuk pembinaan jalan baharu dan pembaikan jalan raya di daerah Kuala Kangsar dan Hulu Perak.

"Sejumlah RM94 juta untuk pembinaan jalan baharu dari Gentis, Sungai Siput ke Perkampungan Orang Asli Pos Kemar, Gerik manakala pembinaan jalan dari Kampung Beng ke Kampung Raja Intan Suraya di Kuala Kangsar melibatkan kos sebanyak RM140 juta," katanya.

-- BERNAMA