GEORGE TOWN: Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow menyangkal dakwaan bahawa Fasa 1 Gurney Bay melibatkan kos sebanyak RM247 juta dan menegaskan sebarang kerosakan di tapak masih di bawah tanggungjawab pihak kontraktor.

Chow dalam kenyataan berkata RM247 juta itu merupakan kos penuh bagi projek Gurney Bay iaitu termasuk Fasa 1 dan 2.

“Setakat 31 Dis 2023, kerajaan negeri hanya membayar RM58 juta untuk kerja-kerja yang telah disiapkan. RM247 juta hanya akan dibelanjakan apabila kesemua komponen projek siap menjelang 2026.

“Mengenai kerosakan di tapak, pihak kontraktor adalah bertanggungjawab selama dua tahun atas syarat Damage Liability Period (Tempoh Liabiliti Kecacatan)," katanya.

Semalam, Chow mengumumkan pembukaan Fasa Pertama Gurney Bay kepada orang awam dan menyifatkannya sebagai taman rekreasi untuk seisi sekeluarga dengan lokasi unik yang terletak di sebelah laut dengan pemandangan pantai.

Sebelum ini, bekas Ketua Menteri Lim Guan Eng memuat naik satu hantaran menerusi laman Facebook beliau yang mempersoalkan kualiti kerja taman rekrekasi berkenaan yang baru dibuka, namun sudah mengalami kerosakan.

“Nilai RM247 juta yang dibelanjakan sepatutnya membawa kepada sebuah taman rekrekasi yang bertaraf antarabangsa,” menurut Lim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Air Putih.

--BERNAMA