KUALA LUMPUR: Sebanyak RM29.03 bilion aset 1Malaysia Development Berhad (1MDB) telah berjaya dipulangkan dari tahun 2019 sehingga kini.

Aset-aset berkenaan berjaya dipulangkan menerusi kerjasama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bersama Pasukan Petugas Khas Pemulihan Aset 1MDB (PPA1M) selain kerjasama daripada agensi luar negara.

Terbaharu, hasil daripada pemulihan aset dana 1MDB di dalam dan luar negara yang giat dijalankan secara berterusan, SPRM berjaya memperoleh semula wang termasuk aset yang berjumlah RM23,911,460.90.

Menurut SPRM, wang dan aset-aset berkenaan diperoleh menerusi proses lucut hak termasuk di mahkamah selain penyerahan secara sukarela membabitkan lima individu dan seterusnya telah dipulangkan semula kepada Kerajaan Malaysia.

"Kejayaan memperoleh semula wang ini adalah susulan daripada proses menjejak dan memperoleh semula dana 1MDB yang dijalankan Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) SPRM pada tahun 2023 dan terbaharu pada 5 Februari 2024.

"Untuk makluman, wang berjumlah RM556,275.64 telah berjaya diperoleh pada 30 Ogos 2023 daripada Pegawai 1MDB, Nurzahid Taib yang telah menerima dana 1MDB bagi Projek Maximus dan Projek Catalyze yang dimasukkan ke dalam akaun syarikat Turquoise Coast Offshore Incorporated, di mana individu ini mempunyai kepentingan.

"Wang ini telah diperoleh menerusi Perintah Pelepasan Akaun di bawah Seksyen 60 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) pada 26 Jun 2023," kata SPRM dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Khamis.

SPRM berkata, pada 29 September 2023, wang berjumlah RM4,551,399.45 telah berjaya dipulangkan kepada Kerajaan Malaysia menerusi penyerahan secara sukarela oleh Pegawai Khas kepada Datuk Seri Najib Razak, Datuk Amhari Effendi iaitu menerusi pindahan wang dari BSI Bank Switzerland.

Selain itu, pada 8 November 2023, Mahkamah Tinggi Jenayah Kuala Lumpur telah memberikan perintah melucut hak tiga unit kondominium berjumlah RM7.05 juta milik Mohammad Kamal Yan Yahaya iaitu Pegawai Penasihat Hal Ehwal Luar Negeri kepada bekas bekas Perdana Menteri, Najib.

Jelas SPRM, individu berkenaan telah menerima dana 1MDB menerusi Projek Magnolia, Projek Maximus dan Projek Catalyze ke dalam akaun syarikat Spring Elite International Limited di BSI Bank, Singapura, di mana beliau mempunyai kepentingan.

"Ketiga-tiga proses pemulihan aset ini telah diperoleh susulan perbicaraan ke atas bekas pegawai bank di Goldman Sachs, Ng Chong Hwa atau lebih dikenali sebagai Roger Ng di Mahkamah Persekutuan Brooklyn, Amerika Syarikat pada Februari 2022 atas dakwaan bersubahat dalam penyelewengan dana 1MDB.

"Susulan proses pemulihan aset yang giat dijalankan ini juga, pada 5 Februari 2024, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah memerintahkan harta-harta milik sekutu kepada Jho Low atau nama sebenarnya Low Taek Jho iaitu Jerome Lee Tak Loong dan isterinya, Koay Ying Ying di Malaysia dan di Singapura yang keseluruhannya berjumlah RM11,753,785.81 dilucut hak kepada SPRM.

"Permohonan lucut hak ini telah dibuat di bawah Seksyen 56 dan Seksyen 64 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001)," kata SPRM.