MALAYSIA
RM417 juta diperuntuk perkasa usahawan India - Ramanan

Ramanan berkata peruntukan itu merangkumi penyediaan dana bagi program sedia ada dan inisiatif baharu, termasuk yang berbentuk pembiayaan pinjaman serta geran padanan. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) melaksanakan pelbagai inisiatif khusus bagi memperkasa komuniti usahawan India dengan jumlah peruntukan keseluruhan hampir RM417 juta.
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri R. Ramanan berkata peruntukan itu merangkumi penyediaan dana bagi program sedia ada dan inisiatif baharu, termasuk yang berbentuk pembiayaan pinjaman serta geran padanan.
Beliau berkata pada tahun 2024, KUSKOP memperkenalkan beberapa inisiatif baharu seperti program Bank Rakyat Indian Entrepreneur Financing-i (BRIEF-i) dengan peruntukan RM50 juta dan Program Business Accelerator Untuk Syarikat Milikan India (i-BAP) di bawah SME Corp yang menyediakan geran padanan sebanyak RM6 juta.
"Kesemua projek ini melibatkan peruntukan tambahan berjumlah RM136 juta yang bertujuan untuk memperkasakan usahawan India di peringkat nasional dan juga meningkatkan perniagaan mereka," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.Beliau menjawab soalan tambahan S. Kesavan (PH-Sungai Siput) yang ingin tahu sama ada terdapat inisiatif baharu bagi pemerkasaan usahawan India di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) seperti penyediaan dana dalam bentuk tanpa pinjaman.
Mengulas lanjut, Ramanan berkata bagi tahun 2025, KUSKOP telah mengumumkan dana tambahan RM50 juta masing-masing bagi program BRIEF-i, Skim Pembangunan Usahawan Masyarakat India (SPUMI) Goes Big dan Prosperity Empowerment and A New Normal for Indian Women (PENN), selain memperkenalkan inisiatif baharu Vanigham Financing for Indian Entrepreneurs dengan pembiayaan sebanyak RM50 juta.
Beliau berkata sebahagian besar inisiatif disediakan dalam bentuk pinjaman dengan kadar faedah yang rendah, khusus untuk usahawan yang telah melepasi tahap B40.
"Kita mengambil pandangan daripada Yang Berhormat (Sungai Siput) berhubung keperluan geran tanpa pinjaman, kita akan lihat bagaimana kita boleh membantu untuk mencadangkan supaya geran yang sesuai boleh diberikan kepada usahawan-usahawan," katanya.
Sementara itu, mengulas peratus kejayaan inisiatif yang disediakan, Ramanan berkata sebanyak 7,074 penerima mendapat manfaat daripada program PENN yang dilaksanakan melalui Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), dengan pinjaman tidak berbayar kurang daripada satu peratus.
"Bagi program di bawah TEKUN (Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga) Nasional pula, kalau kita lihat SPUMI dan SPUMI Goes Big mempunyai 3,470 penerima dan jumlah yang disalurkan kepada mereka hampir RM88.1 juta.
"Jadi, kalau kita lihat memang mereka berjaya mendapatkan pinjaman ini dan bayaran mereka adalah bagus," katanya menjawab soalan tambahan Salamiah Mohd Nor (PN-Temerloh) yang ingin tahu peratus kejayaan daripada program SPUMI dan PENN sejak ia diperkenalkan.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami