RM4.32 bilion bagi pelaksanaan projek tebatan banjir seluruh negara

Perbelanjaan tahunan meningkat daripada RM541 juta pada 2021 kepada RM1.39 bilion pada 2025, selaras dengan pelaksanaan berperingkat projek RTB di bawah PETRA melalui Jabatan Pengairan dan Saliran. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Kerajaan membelanjakan RM4.32 bilion dalam tempoh lima tahun untuk pelaksanaan Rancangan Tebatan Banjir (RTB) di seluruh negara, merangkumi projek struktur dan bukan struktur bagi mengurangkan risiko serta impak banjir.
Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata perbelanjaan tahunan meningkat daripada RM541 juta pada 2021 kepada RM1.39 bilion pada 2025, selaras dengan pelaksanaan berperingkat projek RTB di bawah Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).
"Bagi Sabah, sebanyak 15 projek bernilai keseluruhan RM948.1 juta sedang dan telah dilaksanakan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), yang setakat ini berjaya mengurangkan kawasan hotspot banjir daripada 798 kepada 517 lokasi," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Seri Ronald Kiandee (PN-Beluran) mengenai perbelanjaan projek tebatan banjir di seluruh negara sejak lima tahun lepas, peruntukan untuk Sabah dan keberkesanan inisiatif mengurangkan risiko banjir.
Akmal Nasrullah berkata di bawah Projek Pemuliharaan Sungai untuk Mengurangkan Risiko Banjir, sebanyak RM35.76 juta telah disalurkan kepada Sabah antara 2022 hingga 2024 melibatkan 288 sebut harga, manakala RM10.64 juta lagi pada 2025 untuk 58 sebut harga yang dijangka siap Disember ini.
Selain pendekatan struktur, beliau berkata pendekatan bukan struktur turut diperkuat melalui pelaksanaan Kajian Pelan Induk Tebatan Banjir (PITB) yang setakat ini telah menyiapkan enam pelan induk manakala satu lagi masih dalam pelaksanaan.
Kajian itu, beliau berkata untuk merangka dasar serta strategi pembangunan lebih efektif berasaskan perubahan guna tanah, demografi dan kekerapan hujan.
Menjawab soalan tambahan Ronald mengenai peningkatan insiden banjir di beberapa kawasan Sabah dan kesan pembangunan seperti projek Pan Borneo, Akmal Nasrullah berkata kerajaan akan memastikan setiap projek baharu mengambil kira kesan terhadap sistem saliran dan risiko banjir.
"Sebagai contoh, Sungai Moyog, di Sabah menghadapi cabaran aliran dari Banjaran Crocker hingga Putatan. Fasa pertama projek di bawah RMK12 sedang berjalan dan fasa 2A bernilai RM250 juta akan diteruskan di bawah RMK13," katanya.
Beliau berkata pelbagai faktor seperti perubahan iklim, taburan hujan dan pembangunan baharu boleh meningkatkan risiko banjir, justeru PITB dijadikan panduan oleh JPS dalam merancang pembangunan serta pembinaan baharu bagi mengelakkan kesan limpahan air.
Bagi soalan tambahan Mohamad Shafizan Kepli (GPS-Batang Lupar) mengenai keberkesanan inisiatif tebatan banjir dan status projek mengatasi banjir pantai bernilai RM316 juta di Sarawak, Akmal Nasrullah berkata PETRA menilai setiap projek berdasarkan kawasan lindungan serta pengurangan risiko yang dicapai selepas pelaksanaan.
"Setiap projek dirancang berasaskan penyataan masalah khusus bagi membolehkan JPS mengenal pasti kawasan tumpuan untuk tindakan mitigasi yang lebih berkesan," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


