REMBAU: Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) memperuntukkan RM45.11 juta bagi pelaksanaan projek infrastruktur, sosio ekonomi dan kemudahan awam di seluruh Negeri Sembilan hingga Oktober lepas, kata Timbalan Menterinya Akmal Nasrullah Mohd Nasir.

Beliau berkata projek berkenaan membabitkan pembaikan cerun, parit, longkang, kolam takungan dan pembinaan MyKiosk di beberapa daerah sekali gus memberikan keselesaan kepada orang ramai.

"Kita galakan juga untuk menaik taraf lampu jalan dengan lampu LED. Bajet perlu dibelanjakan tahun ini juga dan dalam lawatan tadi juga saya tinjau keperluan cadangan untuk tahun depan, perkara ini membolehkan KPKT memulakan kerja lebih awal.

"Keseluruhan peruntukan ini merupakan pelaksanaan bagi memastikan perkhidmatan dan fokus KPKT terhadap kesejahteraan rakyat dapat terus dipertingkatkan," katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan kerja sempena program Sentuhan Kasih KPKT di sini hari ini.

Beliau turut meninjau kemudahan dan infrastruktur awam serta sistem pencahayaan Stadium Mini Rembau, Medan Selera Sri Kendong, Pasar Malam Pekan Rembau dan Projek Program Perumahan Rakyat (PPR) Rembau.

Dalam pada itu, Akmal Nasrullah berkata projek PPR Rembau membabitkan 452 unit rumah teres setingkat bernilai RM129 juta yang tertangguh sejak 2016 itu, dijangka disiapkan selewat-lewatnya hujung tahun depan dengan kemajuan terkini projek berkenaan sudah melebihi 91 peratus.

"Projek ini sangat mencabar, sepatutnya siap tahun lepas. Berdasarkan perbincangan tadi, projek ini mampu disiapkan dalam tempoh 10 hingga 12 bulan lagi. Cabaran yang ada di sini membabitkan agensi utiliti dan pentadbiran. Selepas projek ini selesai, projek ini akan dipinda kepada sewa untuk beli," katanya.

Beliau berkata KPKT sentiasa komited menangani masalah projek sakit dan terbengkalai di seluruh negara, selain pemantauan secara secara berterusan oleh Pasukan Petugas Projek Perumahan Swasta dan Terbengkalai dilakukan.

Selain itu, beliau turut mengumumkan peruntukan berjumlah RM1 juta membabitkan projek pencahayaan dan lampu jalan solar LED kepada Majlis Daerah Rembau (MDR).

Menurutnya hingga kini, MDR telah menerima peruntukan RM3.05 juta meliputi RM2.15 juta untuk 43 projek kecil, RM400,000 bagi menaik taraf tiga projek sistem perparitan dan longkang serta RM500,000 bagi pembinaan baharu 25 unit MyKiosk.

-- BERNAMA