Skip to main content

Malaysia

RM50 juta dana berimpak tinggi diguna perkasa TVET 2.0 - PM

Sumber: Astro AWANI
Perdana Menteri berucap ketika merasmikan Sambutan Hari TVET 2.0 di Dataran Putrajaya. - Astro AWANI

PUTRAJAYA: Kerajaan membenarkan sehingga RM50 juta daripada Dana Program Berimpak Tinggi Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) digunakan bagi memperkukuh pelaksanaan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) 2.0.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peruntukan itu akan digunakan untuk memperluas program latihan, pendedahan industri serta meningkatkan kualiti pembangunan kemahiran bagi memastikan tenaga kerja negara memenuhi kehendak pasaran semasa dan masa depan.

“Saya tegaskan semula bahawa kerajaan membenarkan sehingga RM50 juta daripada Dana Program Berimpak Tinggi PTPK digunakan untuk TVET 2.0.

“Bagaimanapun, syaratnya ialah majikan dan pihak industri perlu bekerjasama dengan kerajaan, khususnya melalui Majlis TVET Negara, supaya wujud penyelarasan yang lebih berkesan dalam menjayakan agenda ini,” katanya.

Perdana Menteri berucap ketika merasmikan Sambutan Hari TVET 2.0 di Dataran Putrajaya, di sini pada Sabtu.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Majlis TVET (MTVET) Negara.

Menurut Perdana Menteri lagj, kerjasama erat antara kerajaan dan industri penting bagi memastikan program latihan yang ditawarkan benar-benar memenuhi keperluan sektor pekerjaan, selain memberi lebih banyak peluang pendedahan kepada pelatih.

Mengangkat tema “TVET Pilihan Utama Kerjaya”, sambutan selama tiga hari hingga Ahad bermula 9 pagi hingga 10 malam menghimpunkan lebih 107 agensi, institusi dan pemain industri daripada sembilan sektor utama.

Sementara itu, Perdana Menteri memaklumkan disebalik ketidaktentuan geopolitik dunia, namun minat pelabur antarabangsa terhadap Malaysia terus kekal kukuh.

Menteri Kewangan itu berkata, pelabur daripada syarikat teknologi maklumat terkemuka dari Australia, telah mengadakan pertemuan minggu lalu dan bersetuju menambah pelaburan kira-kira dua bilion euro ke dalam negara.

Menurutnya, dalam perbincangan tersebut, syarikat berkenaan turut menekankan keperluan tenaga kerja mahir serta kepentingan negara menyediakan lebih ramai bakat tempatan.

“Mereka tidak lagi bercakap dalam konteks lama, sebaliknya menekankan keperluan latihan kemahiran dan pembangunan tenaga kerja terlatih, termasuk dalam bidang TVET,” katanya.

Anwar menambah, TVET perlu terus diperkasa dan diangkat ke tahap lebih tinggi agar seiring dengan perkembangan teknologi semasa.

 

 

 

 

Must Watch Video

Advertisement