Kerajaan mengumumkan penyaluran RM500 juta kepada Pelaburan Mara Berhad untuk mengurus dana pendidikan kepada bumiputera.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ia sekali gus menyumbang kepada pembangunan pasaran kewangan dan modal islam negara.

"Dana sepadan itu bakal membiayai keperluan program latihan, pendidikan, keusahawanan serta inovasi modal insan bumiputera.

"Ia akan memberi manfaat kepada pelaburan mara tetapi juga kepada Mara secara keseluruhannya dari segi dividen yang akan diterima, sekali gus dapat memberi manfaat besar kepda negara dan rakyat khususnya dari segi pemerkasaan modal insan dan pendidikan,'' katanya

Muhyiddin berkata demikian semasa majlis penjenamaan semula identiti korporat pelaburan Mara Berhad dan pelancaran PMB Tijari Berhad di Pusat Persidangan Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Turut hadir, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal dan Pengerusi Pelaburan Mara Berhad, Datuk Sohaimi Shahadan.

Penjenamaan semula itu merupakan strategi menyeluruh kepada keseluruhan imej kumpulan selaras fokus korporat pelaburan Mara.

Ia meliputi pelaburan portfolio dan aset, perkhidmatan kewangan Islam dan khidmat nasihat korporat.

Terdahulu, Muhyiddin menyaksikan majlis menandatangani perjanjian pemegang saham PMB Tijari Berhad dengan Islamic Corporation for the Development of the Private Sector (ICD), sebuah anak syarikat Islamic Development Bank dari Arab Saudi.

Perjanjian itu membolehkan ICD memegang kira-kjira satu pertiga ekuiti PMB Tijari Bhd.

Kata Muhyiddin, perjanjian itu membuktikan tahap keyakinan ICD untuk terus melabur di negara ini.

"Ia selaras dengan dasar ICD untuk membantu dalam pembangunan pasaran kewangan dan modal Islam di negara-negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

"Ia melambangkan keyakinan ICD terhadap pelaburan ini memandangkan pegangan pelaburan ditingkatkan kepada 10 peratus sebelum PMB Tijari diambilalih Pelaburan Mara, kepada 33 peratus selepas perjanjian,'' jelasnya.

Muhyiddin turut melahirkan harapan jaringan yang ada dapat meluaskan perkhidmatan di lebih 55 negara anggota OIC lain.