PUTRAJAYA: Kerajaan memperuntukkan RM725.7 juta bagi pelaksanaan projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) untuk menyelesaikan masalah bencana itu di kawasan Dengkil sehingga Labohan Dagang dekat sini, kata Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad.

Beliau berkata projek berkenaan yang merupakan projek jangka panjang di bawah Tebatan Banjir Berkeutamaan Tinggi (TBBT), akan dilaksanakan di Sungai Langat Fasa 1 dan Sungai Langat Fasa 2 bagi melindungi kira-kira 120,000 penduduk di kawasan itu daripada impak banjir.

Pada masa ini, katanya Projek RTB Sungai Langat Fasa 1 sedang dalam proses pengambilan tanah dan dijangka siap pada 2027, manakala projek RTB Sungai Langat Fasa 2 pula dijangka bermula pada Januari 2024 dan siap sepenuhnya menjelang 2030.

"Bagi tindakan jangka pendek, kekerapan penyelenggaraan sistem saliran di kawasan itu telah ditingkatkan oleh pihak berkaitan," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan bersempena dengan lawatan kerja beliau ke beberapa kawasan yang terkesan banjir serta Pintu Air Sungai Semarang dekat sini hari ini.

Pada 5 Nov lepas, beberapa kawasan dinaiki air akibat hujan lebat berterusan selama sejam termasuk Kampung Sungai Buah, Kampung Jenderam Hilir, Kampung Cemperai, Kampung Seri Tanjung, Taman Delima, Kampung Orang Asli Sungai Melut, Persimpangan FT29/FT32 dan kuarters Penternakan Ayamas Sdn Bhd di Jalan Utama Taman Warisan Suria.

Dianggarkan sebanyak 148 rumah terjejas dan sejumlah 395 penduduk dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) akibat banjir berkedalaman 0.2 hingga 0.5 meter.

-- BERNAMA