KUALA LUMPUR: Pimpinan akar umbi di kalangan masyarakat luar bandar mengharapkan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) boleh meningkatkan penggunaan teknologi digital penduduk luar bandar.

Rata-rata mereka yang ditemu bual menerusi program Agenda AWANI mengharapkan peruntukan yang disediakan dapat meliputi seluruh lapisan masyarakat sekali gus membawa kesamarataan dari segi pembangunan dan kemajuan.

Bagi Presiden Persatuan Pelancongan dan Kebudayaan Keningau, Rafie Robert, sekiranya kerajaan benar-benar berhasrat membantu rakyat di negeri Sabah dan Sarawak, agihan peruntukan itu perlu lebih besar dan bersasar.

“Keutaman projek perlu mengikut kepada keperluan rakyat, kerajaan cuba agihkan projek itu ke kawasan pembangunan di seluruh negeri tetapi untuk Sabah dan Sarawak, perlu diberi keutamaan kerana kita sudah ketinggalan jauh dari segi pembangunannya.

“Saya mengharapkan ia dapat mempertingkatkan perkhidmatan pengangkutan atau menaik taraf pengangkutan awam di luar bandar kerana penduduk kebanyakannya tidak ada kenderaan persendirian.

“Mereka lebih bergantung kepada menggunakan perkhidmatan awam seperti bas, van dan teksi yang menghubungkan kawasan kampung ke pusat bandar,” jelasnya dalam program Agenda AWANI yang menfokuskan Suara Rakyat, Realiti Baharu Luar Bandar pada Rabu.

BACA: RMK-12: Teks penuh PM Ismail Sabri 

BACA: RMK-12 bakal jadi pemangkin pertumbuhan ekonomi yang lebih mampan - MITI 

Bagi Ketua Kampung Parit Raja, Batu Pahat pula yang melihat majoriti penduduk kampung di situ yang merupakan pengusaha kilang-kilang kerepek, perlu diberi fokus dalam perkongsian tentang mengenai cara penggunaan digital.

Majdan Jamain mengharapkan, pihak kerajaan melalui kementerian berkaitan, supaya mengadakan satu kursus bagi golongan ini tentang kaedah yang lebih baik dari segi pemasaran produk dan sebagainya.

“Sudah semestinya digitalisasi ini satu perkara baharu bagi mereka, namun apa yang saya lihat sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini, mereka menggunakan jalan terbaik iaitu kaedah jualan atas talian.

“Kita lihat kebanyakan pengusaha kita masih lagi menggunakan jualan terus iaitu dengan menghantar produk dari kedai ke kedai,” katanya.

BACA: RMK-12: Golongan petani harap perhatian, pelan jangka panjang 

Sementara itu, Pengurus Besar Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kuala Langat, Mohd Shakran Shamsuddin meletakkan harapan agar kaedah pendigitalan dalam sektor pertanian tidak mensisihkan golongan petani kecil.

“Pendigitalan kepada petani kecil ini ada kekangannya sendiri, apabila ia melibatkan pembiayaan oleh sektor kewangan dan sebagainya.

“Kebanyakan sektor kewangan tidak mahu membiaya bagi petani kecil berbanding besar dan di situlah pendigitalan ini akan menyebabkan jurang besar di antara petani besar dan kecil.

“Saya harapkan kerajaan memberi tumpuan kepada perkara ini supaya pendigitalan ini boleh diterapkan kepada semua lapisan golongan petani,” kata Shakran.


Agenda AWANI: Suara Rakyat | Realiti baharu luar bandar