KUCHING: Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) dilihat mampu merapatkan jurang besar antara Semenanjung Malaysia dengan Sabah dan Sarawak, kata Felo Kanan Majlis Profesor Negara, Dr Jeniri Amir.

Sembilan fokus utama dalam kandungan yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilihat sebagai langkah terbaik untuk merancakkan kembali pertubuhan ekonomi.

Antaranya menerusi fokus ketujuh dalam sembilan fokus yang dibentangkan Perdana Menteri, iaitu jaminan kerajaan dalam memenuhi tuntutan Perlembagaan Persekutuan dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

"Tuntutan dan harapan yang pelbagai mencetuskan atau mewujudkan pelbagai kompleksiti dan aspirasi ini harus difahami betul-betul dan tidak mungkin bagi mana-mana kerajaan untuk mampu laksanakan secara menyeluruh sekali gus.

"Jadi tumpuan harus diberi kepada kawasan ataupun tuntutan yang betul-betul mendesak untuk tangani masalah di kawasan terbabit.

BACA: [LAPOR LANGSUNG]: RMK-12 - Keluarga Malaysia Makmur, Inklusif, Mampan

BACA: RMK-12 tepati hasrat MA63 - Alexander Nanta Linggi

"Ini bagi memastikan rakyat di kawasan berkenaan baik di Sabah mahupun Sarawak dapat dipenuhi harapan dan impian mereka untuk memastikan mereka juga dapat nikmati segala kemudahan yang diwujudkan melalui RMK-12," katanya.

Ujar beliau, walaupun tidak secara menyeluruh dalam kadar yang segera, namun sekurang-kurangnya menyelesaikan tuntutan yang memerlukan perhatian segera sekali gus mengurangkan isu yang kompleks.

Jelasnya, inisiatif ini akan membawa Sabah dan Sarawak ke landasan yang betul dalam pembangunan dan meredakan ketidakpuasan hati yang wujud setelah 58 tahun mencapai kemerdekaan.

Bagaimanapun kata Dr Jeniri, dalam perbelanjaan besar yang dikeluarkan itu, dua wilayah berkenaan perlu bijak dalam tadbir urus pembangunan bagi mengelakkan sebarang pembaziran peruntukan dan masa.

"Kita harap pelbagai projek dirancangkan dengan peruntukan lebih besar untuk Sabah dan Sarawak dapat dirancang dengan sebaik-baiknya untuk memastikan ketirisan, pembaziran tidak berlaku.

"Kerana apabila perkara ini berlaku, ianya akan memberi kesan besar kepada rakyat khususnya dari segi pembangunan jalan raya, jambatan, klinik, sekolah dan sebagainya," kata ketika ditemu bual Astro AWANI.

Dalam pada itu, RMK-12 katanya melonjakkan pembangunan Sabah dan Sarawak selari dengan aspirasi rakyat yang mahukan perkembangan positif selain menikmati kemakmuran bersama.

"Jurang besar antara Sabah Sarawak dengan Semenanjung harus dirapatkan. Jadi ini bagi saya, komitmen yang telah ditunjukkan melalui peruntukan besar yang disalurkan melalui RMK-12.

"Ini memperlihatkan kesungguhan di pihak Kerajaan Persekutuan khususnya Perdana Menteri untuk memastikan bukan sahaja pembangunan dari segi infrastruktur dapat dipacu.

"Malah, memungkinkan Sarawak dan Sabah dapat merapatkan jurang dengan Semenanjung dan mencapai objektif Keluarga Malaysia melalui pembangunan infrastruktur," tambah beliau.