KUALA LUMPUR: Kerajaan menyedari pembangunan bakat merupakan elemen penting dalam menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang berpendapatan tinggi, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, sistem pendidikan di negara ini perlu mempunyai keupayaan untuk mengeluarkan modal insan berkualiti, serta berkemahiran tinggi, bagi memenuhi kehendak industri.

Perdana Menteri berkata, tumpuan harus diberikan kepada usaha menambah baik sistem pendidikan negara, serta menangani isu ketidakpadanan dalam pasaran pekerjaan.

Dokumen Rancangan Malaysia Ke-12  (RMK-12), kata Ismail Sabri, akan menggariskan beberapa langkah utama bagi mencapai tujuan tersebut, antaranya: - pengukuhan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM); peruntukan RM1.6 bilion untuk ganti bangunan sekolah daif bagi tahun 2021 dan 2022; serta penubuhan empat kompleks sekolah dan lima sekolah baharu dengan kos RM848 juta.

RMK-12: Tambah baik sistem pendidikan, pekerjaan kemahiran tinggi


BACA: [LAPOR LANGSUNG]: PM Ismail Sabri bentang RMK-12 hari ini

Selain itu Perdana Menteri berkata, kerajaan juga akan terus memperkasa projek TVET; mewujudkan sistem pendidikan tinggi yang fleksibel; memperkenalkan pelan pendidikan digital di peringkat sekolah dan pengajian tinggi; serta menaiktaraf kemudahan universiti awam.

Perdana Menteri berkata demikian sewaktu membentangkan Usul Mengenai Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) di Dewan Rakyat pada Isnin.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, kerajaan bakal memperkenalkan Pelan Strategik Kebolehpasaran Graduan 2021-2025, bagi menangani isu ketidakpadanan dalam pasaran buruh.

Selain itu, beliau berkata, Job Creation Strategic Plan 2021-2023 akan diperkenalkan untuk membolehkan negara menyediakan tenaga kerja berdaya tahan dan berkemahiran tinggi yang diperlukan oleh industri.

“Pelaksanaan dua pelan ini akan memastikan rakyat Malaysia mendapat manfaat daripada pewujudan peluang pekerjaan yang baharu,” katanya lagi.

Berucap lanjut, Perdana Menteri berkata, pandemik COVID-19 telah memberi kesan kepada beberapa sektor ekonomi, yang mempunyai kebergantungan yang tinggi terhadap pekerja asing, terutama sektor pembinaan dan perladangan akibat pembekuan pengambilan pekerja asing.

Bagi mengatasi isu tersebut, beliau berkata, kerajaan berpandangan bahawa industri perlu meningkatkan penggunaan automasi dan mekanisasi dalam proses pengeluaran.

“Dalam tempoh jangka panjang, jumlah pekerja asing dalam tenaga kerja dihadkan kepada tidak melebihi 15 peratus.

“Penguatkuasaan berkaitan pekerja asing akan diperkukuh bagi menyokong dasar ini,” katanya lagi.