SABAH ini besar. Cara tadbir urus negeri adalah berbeza dengan cara pentadbiran negeri Perlis mahupun Johor. Apabila bercakap tentang kerja-kerja membangun negeri dan landskapnya, dalam skop apa pun, ia memerlukan pemahaman yang luas di lapangan tentang demografi penduduk dan ekonominya.

Sering kali kita mendengar tentang ranking Sabah sebagai negeri terakhir dari segi pembangunan landskap ekonomi, infrastruktur atau pembangunan modal insan walaupun peruntukan sentiasa diberikan.

Ada dua aspek yang saya lihat perlu diberi perhatian sebelum merancang pelan pembangunan bagi Sabah ataupun Sarawak iaitu pemahaman demografik rakyat Sabah secara mendalam dan peratusan bajet yang diagihkan melalui agensi atau pihak lain.

Namun, penulisan saya adalah lebih kepada pengalaman sebagai rakyat Sabah, pembangun komuniti dan yang pernah berkerja di agensi peringkat persekutuan.

Pertama, mengkaji demografi sebagai negeri yang lebih besar daripada negeri negeri lain di Sabah bukan sahaja keluasan dan kepadatan penduduk, tetapi bentuk geografi, budaya, latar belakang dan kebolehpasaran bakat di Sabah.

Apabila merangka pelan pembangunan seluruh negara, saya mengajak agensi pelaksana untuk melihat Sabah dan Sarawak dari perspektif yang berbeza dari negeri negeri lain. Kita sudah mempunyai pelan yang baik di bawah Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 untuk rakyat Sabah tetapi strategi implementasi ke akar umbi melalui agensi pelaksana perlu diperincikan lagi.

Dari sudut pembangunan modal insan, dialog berterusan dengan pemegang taruh yang datang dari korporat, institut pengajian tinggi, pengamal industri, komuniti dan kerajaan perlu dilakukan secara kerap apabila merangka program dan pelan pembangunan yang sesuai dengan kompetensi semasa bakat di Sabah.

Setiap pemegang taruh perlu mempunyai data semasa tentang bakat di Sabah, perlu mengenal pasti apa yang kurang, di mana tahap mereka sekarang dan program apa yang sesuai untuk disampaikan di sana.

Contohnya, program bootcamp tiga hari dengan template kurikulum dari Kuala Lumpur atau Silicon Valley yang dibawa ke Sabah sekali setahun atau dua tahun dengan jargon yang asing bagi penduduk Sabah, yang datang dari latar belakang berbeza, sangat tidak sesuai digerakkan di akar umbi walaupun pengendali adalah pakar dalam sesuatu bidang tersebut.

It won't serve the purpose and It should not be the one size fits all method. Saya cadangkan, tambah frekuensi pelaksanaan program atau inisiatif di Sabah, setiap kuarter bukan sekali setahun atau hanya bila pemimpin Persekutuan datang melawat kami.

Untuk bakat kami datang ke Semenanjung, memerlukan kos yang lebih besar berbanding mereka yang berada di Perlis. Belum ambil kira perjalanan dari pedalaman untuk sampai ke Lapangan Terbang Kota Kinabalu.

Kedua; adalah pemberian bajet kepada negeri ini melalui agensi yang terpilih perlu diagihkan lebih kepada negeri yang besar seperti Sabah, bukan sama rata.

Contohnya setiap kali pemberian geran untuk bakat ataupun usahawan dari peringkat Persekutuan, rakyat Sabah perlu bertanding dengan bakat dari Semenanjung yang mana tahap kompetensi adalah jauh dari kami kerana peluang latihan yang senang dicapai di Semenanjung berbanding di Sabah.

Sabah juga seringkali menjadi negeri yang paling lambat menerima maklumat tentang peluang yang diberikan oleh pihak Persekutuan. Ketidaksamarataan ini sangat ketara berbanding negeri-negeri lain yang saya lawati untuk lawatan kerja dan ia juga meliputi sektor-sektor lain.

Cadangan saya, perlu ada kuota tersendiri untuk rakyat Sabah dari segi pemberian peluang dan geran selain mengenal pasti pemegang taruh yang komited untuk pelaksanaan program akar umbi di lapangan.

Pastikan ia datang dari semua sektor, sekurang kurangnya komuniti, institusi pendidikan, korporat dan kerajaan.

Sabah ini besar. Cara tadbir urus negeri adalah berbeza dengan cara pentadbiran negeri Perlis mahupun Johor. Lihatlah kami dari perspektif yang berbeza dan empati yang tinggi.


* Artikel ini daripada Pengurus Besar Sabah Creative Economy and Innovation Centre (SCENIC), Viviantie Sarjuni.

** Penulisan ini adalah dari pandangan peribadi berdasarkan pemerhatian profesional penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.