KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Rafidah Aziz menyifatkan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) sebagai tidak mempunyai asas yang kukuh, sebaliknya hanya menumpukan kepada perkara biasa yang sudah boleh dijangka.

Dalam satu entri di Facebook, Tan Sri Rafidah mengakui terkejut dengan intipati RMK-12 yang pada sangkaannya, akan memberi tumpuan kepada aspek pemulihan negara dalam semua aspek.

"Negara belum pun memasuki fasa peralihan daripada pandemik. Banyak persoalan yang timbul.

"Bagaimana entiti perniagaan domestik boleh dihidupkan kembali dan dipersiapkan untuk meyakinkan pelabur tempatan dan asing bahawa di Malaysia, terdapat cara untuk memenuhi permintaan Rantaian Nilai Pengeluaran masing-masing.

"Dengan dasar pemilikan saham bumiputera yang baru diumumkan, bermotivasi politik, pelabur asing mana yang akan melabur di Malaysia? Malah syarikat tempatan sendiri akan melarikan diri ke luar negara.

"Dasar itu akan menghalang Malaysia daripada menjadi destinasi pilihan pelabur.

"Ini ditambah pula dengan ketidakstabilan politik membuatkan pelabur semakin jauh," tulisnya.

Beliau menegaskan pengalaman selama 22 tahun dalam sebagai menteri sudah cukup membuatkan beliau memahami apa yang diinginkan oleh pelabur asing dan pelancong, iaitu memanfaatkan kemudahan, pendidikan, dan keindahan Malaysia.

"Hanya kerajaan yang tidak kompeten sahaja yang akan membantutkan hasrat pelabur yang berpotensi," katanya lagi.

Beliau juga menganggap sasaran membasmi miskin tegar pada 2025 sebagai tidak realistik, sebaliknya kerajaan perlu fokus pada membantu menstabilkan ekonomi rakyat yang terjejas sepanjang pandemik terlebih dahulu.

"Penting untuk setiap perancangan mempunyai sasaran realistik, dan perkembangan yang boleh dilihat di peringkat domestik dan antarabangsa.

"Ada semangat tapi jasadnya lemah, tidak berguna. Macam nak berlari pecut 100 meter tapi lututnya terkehel," ujarnya.

 
Sumber Facebook Tansrirafidah