KUALA LUMPUR: Peruntukan sebanyak RM9.13 bilion yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kepada negeri Sabah dan Sarawak pada Khamis disifatkan sedikit sebanyak melegakan rakyat di dua negeri itu.

Felo Kanan Majlis Profesor Negara (MPN), Jeneri Amir berkata ia sekali gus dapat mengurangkan jurang pembangunan prasarana, ekonomi digital dan sosial di negeri terbabit.

"Peruntukan diumumkan Perdana Menteri sekitar RM9 bilion tentu disambut baik 6.6 juta rakyat Negeri Sarawak dan Sabah.

"Ini sesungguhnya cerminan semangat Keluarga Malaysia yang telah digagaskan oleh beliau (Ismail Sabri) dan satu komitmen yang jitu Kerajaan Persekutuan untuk pastikan jurang lebar Sabah dan Sarawak dengan Semenanjung Malaysia dapat dirapatkan," katanya ketika ditemubual Astro AWANI pada Jumaat.

Tambah Jeneri, pelbagai rungutan dan masalah masyarakat telah lama berlarutan termasuk kemudahan asas yang jauh ketinggalan.

Justeru, komitmen kerajaan Pusat itu jelasnya dijangka dapat memacu Sabah dan Sarawak setanding dengan negeri-negeri maju.

RMK-12 | Peruntukan besar untuk Sabah & Sarawak


"Jadi ini harus ditangani satu komitmen politik jitu dari pihak Persekutuan bukan hanya menyerahkan tugas ini kepada pihak kerajaan negeri.

"Walaupun tidak dapat dinafikan kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak telah berusaha untuk memastikan segala masalah berkaitan dapat ditangani dengan baik.

"Tapi apa pun, segala peruntukan telah dinyatakan itu satu munasabah dan serasi dengan keinginan beliau (Ismail Sabri) untuk melihat Sabah dan Sarawak juga dapat berdiri sama tinggi dengan negeri lain," katanya lagi.

Hari Malaysia | Peruntukan pembangunan untuk Sabah dan Sarawak


Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika berucap pada sambutan Hari Malaysia 2021 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) mengumumkan peruntukan sejumlah RM4.66 bilion bagi negeri Sabah manakala RM4.47 bilion bagi negeri Sarawak.

Peruntukan itu jelas Ismail Sabri akan disalurkan melalui peruntukan pembangunan di bawah Rolling Plan 1 2021, Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12), yang akan dibentangkan di Parlimen pada 27 September ini.