KUALA LUMPUR: Kerajaan akan memberi tumpuan yang lebih untuk menangani kemiskinan dan keterangkuman dalam mencapai taraf hidup yang wajar,dan memastikan keadilan sosial di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), selaras dengan prinsip tiada siapa yang tertinggal.

Menurut dokumen Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), yang diterbitkan Unit Perancang Ekonomi (EPU) pada Isnin, beberapa strategi akan dilaksana untuk memperkasa kumpulan B40 bagi meningkatkan taraf hidup dan pendapatan golongan itu.

Antaranya, kerajaan akan menyemak semula kategori kumpulan pendapatan isi rumah sedia ada bagi membolehkan bantuan yang lebih bersasar.

Semakan itu akan mengambil kira perubahan struktur pendapatan dan perbelanjaan, kos sara hidup, kuasa beli, demografi serta lokai isi rumah.

"Kategori kumpulan pendapatan isi rumah yang baharu akan memantapkan lagi penggubalan dasar dan menambah baik penyampaian perkhidmatan," menurut dokumen itu.

BACA: [LAPOR LANGSUNG]: RMK-12 - Keluarga Malaysia Makmur, Inklusif, Mampan

Selain itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri ketika membentangkan RMK-12 hari ini memaklumkan akses kepada penjagaan kesihatan yang berkualiti dan kemudahan kesihatan primer di kawasan luar bandar dan pedalaman akan dipertingkatkan untuk menyediakan perkhidmatan yang mampu bayar dan lebih baik.

Dengan itu katanya, inisiatif Skim Peduli Kesihatan untuk kumpulan B40 (PeKa B40) akan diperkukuhkan dengan meluas liputan dan meningkatkan kesedaran kumpulan sasar sebahagian daripada kos perkhidmatan penjagaan kesihatan dan peralatan perubatan.

Menurut dokumen itu, model wakaf akan diguna sebagai alternatif bagi meringankan beban B40 dalam memenuhi perbelanjaan penjagaan kesihatan.

"Model ini juga akan menyediakan perkhidmatan ambulans, pusat dialisis dan pusat penjagaan warga emas," ujarnya lagi.