KUALA LUMPUR: Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) merupakan pelan pembangunan menyeluruh yang akan memperkenalkan beberapa pembaharuan, bagi memastikan pertumbuhan ekonomi yang mampan dengan pengagihan peluang dan hasil yang lebih saksama.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan akan memperuntukkan RM400 bilion bagi tujuan membiayai projek sambungan dan projek baharu di bawah RMKe-12.

“Saya sedar Keluarga Malaysia meletakkan harapan yang tinggi kepada kerajaan untuk menangani krisis kesihatan dan ekonomi. Kerajaan banyak menerima cadangan daripada orang ramai, Ahli Parlimen dan kerajaan negeri.

“Namun, oleh kerana keperluan yang amat besar untuk melindungi nyawa dan kehidupan pada tahun 2020 dan 2021, ruang bagi melaksanakan projek pembangunan adalah amat terhad. Keadaan ini dijangka berterusan sehingga tahun hadapan,” katanya lagi.

Perdana Menteri berkata demikian sewaktu membentangkan Usul Mengenai Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) di Dewan Rakyat pada Isnin.

Menurut beliau lagi, kerajaan mengambil pendekatan keseluruhan negara atau whole-of-nation approach, melibatkan seluruh jentera dan agensi kerajaan, industri serta masyarakat dalam satu misi tunggal untuk melaksanakan pembaharuan.

“Tujuan pembaharuan ini bukanlah untuk menjana kekayaan negara semata-mata. Sebaliknya, untuk menangani beberapa cabaran struktur ekonomi, menyediakan tenaga kerja masa hadapan, meningkatkan kesejahteraan Keluarga Malaysia dan merapatkan jurang pembangunan antara wilayah.

“Di samping itu, ia juga bagi memastikan pelaksanaan kaedah yang lebih berkesan dalam menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat,” katanya lagi

Secara keseluruhan, Ismail Sabri berkata, terdapat empat matlamat utama yang digariskan sepanjang pelaksanaan RMKe-12 2021-2025.

Matlamat-matlamat tersebut ialah:

* Pertama: Pertumbuhan KDNK disasarkan pada kadar 4.5 hingga 5.5 peratus setahun dalam tempoh 2021-2025;

* Kedua: Purata pendapatan isi rumah dianggarkan sebanyak kira-kira RM10,000 sebulan pada tahun 2025;

* Ketiga: Jurang KDNK per kapita antara Wilayah Tengah dan Sabah dikurangkan kepada 1 nisbah 2.5, manakala bagi Sarawak dikurangkan kepada 1 nisbah 1.2 pada tahun 2025; dan

* Keempat: Pengurangan intensiti pelepasan gas rumah kaca atau Green House Gas (GHG) sebanyak 45 peratus kepada KDNK pada tahun 2030 berdasarkan intensiti pelepasan pada tahun 2005, sejajar dengan Perjanjian Paris 2015.

Dengan terlaksananya pembaharuan ini, Perdana Menteri berkata, menjelang 2025, Malaysia akan menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi dan mempunyai kualiti hidup yang lebih baik, serta menjadi sebuah negara berteknologi tinggi.

Selain itu beliau berkata, RMKe-12 juga menggariskan sembilan fokus utama, antaranya merancakkan pertumbuhan ekonomi negara; memperkukuh pemangkin pertumbuhan; meningkatkan kesejahteraan Keluarga Malaysia; serta memantapkan keselamatan dan ketenteraman awam.

Turut digariskan, membasmi kemiskinan tegar dan merapatkan jurang pendapatan; memperkasa agenda Bumiputera dan Keluarga Malaysia; melonjakkan pembangunan Sabah, Sarawak dan negeri kurang membangun.

Selain itu, kerajaan juga akan mempercepat pertumbuhan hijau dan meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan awam, serta memastikan pelaksanaan dasar yang berkesan.