KUALA LUMPUR: Usaha menjadikan Malaysia sebagai negara berpendapatan dan berteknologi tinggi perlu berpaksikan penerimagunaan teknologi baharu serta penciptaan dan pembangunan teknologi sendiri, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menurut Perdana Menteri, selain itu, kerajaan juga perlu memastikan infrastruktur diperkukuh dan bakat masa hadapan dibangunkan untuk memangkin pertumbuhan ekonomi.

Melalui Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), beliau berkata, langkah mempercepat penggunaan teknologi dan inovasi akan ditumpukan kepada pendigitalan dan teknologi termaju termasuk teknologi 4IR.

“Penyediaan infrastruktur digital melibatkan pelaburan sektor awam dan swasta bernilai RM28 bilion bagi menambah baik rangkaian 4G sedia ada.

“Bagi mempercepat pelaksanaan 5G di seluruh negara, sebanyak RM15 bilion lagi akan dilabur oleh sektor swasta,” kata beliau sewaktu membentangkan Usul Mengenai Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) di Dewan Rakyat pada Isnin.

Selain itu, Ismail Sabri berkata, projek pembangunan Identiti Digital Nasional juga sedang dilaksanakan bagi mewujudkan platform pengesahan identiti serta perakuan elektronik yang selamat dan dipercayai.

Ketika menjelaskan mengenai Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA), Ismail Sabri berkata, inisiatif itu bakal menyediakan 100 peratus liputan 4G di kawasan berpenduduk serta liputan 5G yang lebih luas dan jalur lebar talian tetap kepada sembilan juta premis menjelang 2025.

Sehingga bulan Ogos 2021, Perdana Menteri berkata, sebanyak 94 peratus kawasan berpenduduk telah mendapat liputan 4G.

“Kelajuan perkhidmatan jalur lebar mudah alih pula telah mencapai 29.1 megabit sesaat dan lebih 6,000  premis telah mendapat akses kepada perkhidmatan jalur lebar talian tetap.

“Rangkaian teknologi 5G akan dilancarkan pada penghujung tahun 2021. Rangkaian teknologi 5G akan dilancarkan pada penghujung tahun 2021.

“Pelbagai inisiatif pendigitalan ini dijangka menyokong pencapaian sasaran 25.5 peratus sumbangan ekonomi digital kepada KDNK pada tahun 2025,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, kerajaan menyedari ekonomi gig merupakan sumber penting pertumbuhan ekonomi.

Ismail Sabri berkata, sektor itu telah membuka peluang yang lebih besar kepada rakyat untuk menambah pendapatan termasuk menawarkan perkhidmatan menggunakan platform digital seperti e-hailing dan p-hailing.

“Kerajaan akan mewujudkan ekosistem yang menyokong perkembangan ekonomi gig bagi menggalakkan rakyat memanfaatkan sepenuhnya peluang ini,” katanya lagi.

Berucap lanjut, Perdana Menteri berkata, kerajaan akan merapatkan jurang digital, terutama antara luar bandar dan bandar disebabkan perbezaan prasarana jalur lebar, melalui penyediaan kemudahan infrastruktur digital.

“Dalam hubungan ini, Pusat Internet, Pusat Internet Desa dan Pusat Komuniti Desa akan ditransformasi sebagai Pusat Digital Keluarga Malaysia bagi memberi perkhidmatan yang lebih baik dan bersepadu.

“Penggunaannya juga akan diperluas untuk memberi kemudahan kepada penduduk setempat terlibat dalam e-dagang, latihan kemahiran, pembelajaran dan aktiviti masyarakat,” kata beliau lagi.