MALAYSIA
RMK13: Belia mahu terus diperkasa sebagai aset strategik negara

Panelis Dialog Anak Muda, Astro AWANI senada belia perlu terus disertakan dalam setiap libat urus dan perbincangan dalam merangka dokumen pembangunan itu.
KUALA LUMPUR: Golongan belia mengharapkan agar Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) agar menyediakan pelan yang terangkum untuk memastikan generasi tersebut dapat diperkasakan sebagai aset strategik negara.
Beberapa panelis Dialog Anak Muda Astro AWANI juga senada bahawa belia perlu terus disertakan dalam setiap libat urus dan perbincangan dalam merangka dokumen pembangunan itu, supaya pandangan dan idea mereka turut dipertimbangkan sebaik mungkin.
Bagi Pengarah Youth Economic Forum 2023, Aunie Najiha, perubahan trend yang berlaku baik di peringkat global mahupun domestik, memerlukan belia diperkasakan dengan sebaik mungkin sebagai pelapis pemimpin negara.
“Satu hari nanti belia jadi pemimpin, jadi peranan atau kandungan RMK perlu selaras dan bakal mengaplikasikan lagi menguatkan, lagi mengenengahkan peranan belia untuk lima tahun akan datang.“Jika ia aset, kita perlu sediakan RMK13 yang padat dan menyeluruh supaya kita dapat perkasakan belia menjadikan belia kita sebagai aset yang betul-betul bersedia untuk masa akan datang,” katanya lagi.
Bagi exco Majlis Perwakilan Pelajar UiTM Melaka, Haref Hohpin, belia juga terkait dengan permasalahan yang dialami orang dewasa, termasuk kos sara hidup yang meningkat dan peluang pekerjaan, khususnya belia yang baru melangkah ke alam pekerjaan.
“Kita boleh fikirkan sejauh mana RMK13 itu berkesan kepada belia, kerana apabila kita lihat sekarang ini pelbagai isu yang berbangkit misalnya seperti kos sara hidup, seperti bayaran sewa ke dan sebagainya.
“Dari segi pekerjaan, saya rasa perkara ini haruslah mencapai perbincangan bersama kerana apabila kita sentuh soal belia, itu adalah isu yang sangat-sangat penting, dan itu merupakan isu yang harus ada perbincangan secara menyeluruh,” katanya lagi.
Dalam pada itu, menyentuh mengenai isu digitalisasi, Setiausaha MIYC Cawangan Bukit Mertajam, Annsley Dashawna Stephen berharap agar sebarang perancangan turut mengambil kira keperluan belia di luar bandar.
“Kalau saya ikut laluan nak pergi ke Kepala Batas, contohnya dekat Pulau Pinang … banyak jalan yang tak ada capaian Internet yang berkualiti.
“Maka, apa akan jadi pada belia-belia yang di luar rangkaian Internet ini? Mereka tak boleh nak akses kepada informasi apabila itu berlaku, mereka rasa macam tak nak terlibat dalam hal-hal yang berkaitan Internet. Apabila ini berlaku, macam mana mereka nak ke era seterusnya? Bila semua orang nak ke era digitalisasi, mereka masih lagi di belakang,” katanya lagi.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami