ROBLOX merupakan salah satu permainan dunia maya yang popular, dan dimainkan ramai kanak-kanak seluruh dunia.

Ia turut membolehkan pengguna membangunkan dunia maya tersendiri, mencipta permainan dalam permainan, atau menganjurkan konsert maya melaluinya.

Sebelum ini juga, kita melihat ramai anak muda menyertai perarakkan dan menyatakan solidariti kepada Palestin melalui Roblox.

Terbaharu Roblox umum kerjasama dengan PubMatic, salah satu firma memfokuskan teknologi pengiklanan, dalam membawa pengiklanan dalam permainan popular berkenaan.

Dengan langkah ini, ia akan membolehkan pelbagai jenama untuk kelak membeli iklan, dan paparkan ia kepada para pemain berusia 13 tahun dan ke atas.

Langkah pengiklanan ini akan membuka sumber pendapatan baharu – dan tidak hanya terhad kepada jenama perlu membuka dunia maya mereka tersendiri, selain menjual barangan maya serta mengadakan acara khas.

Dengan penawaran pengiklanan, ia dijangka akan dipaparkan pada papan pengiklanan dalam dunia maya berkenaan, dan tidak mengganggu pengalaman permainan.

Kerjasama Roblox baharu ini akan memudahkan proses pembelian iklan, serta menghubungkan pelbagai pengiklan ke platform Roblox. -Amanz