KOTA BHARU: Perbuatan keji seorang bapa kandung merogol anak perempuan berstatus orang kurang upaya (OKU), diberi pembalasan apabila dijatuhi hukuman 15 tahun dan 10 sebatan oleh Mahkamah Sesyen Kota Bharu hari ini.

Tertuduh, seorang penjaja yang juga OKU cacat anggota berusia 50 tahun itu membuat mengakuan bersalah sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa terhadapnya di hadapan hakim Ahmad Bazli Bahruddin.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa telah merogol anak kandungnya yang berusia 16 tahun empat bulan semasa kejadian apabila perhubungan dengannya tidak dibenarkan mengikut undang-undang, hukum agama, adat atau berkahwin dengannya.

Perbuatan itu dilakukan di dalam bilik sebuah rumah di Kuala Krai kira-kira jam 11.59 malam pada 18 Ogos lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara lapan hingga 30 tahun dan 10 kali sebatan jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Abu Arsalnaa Zainal Abidin, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu Abu Alsalnaa dalam pendakwaannya memohon agar tertuduh dikenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada masyarakat memandangkan kes-kes sedemikian semakin berleluasa.

Sementara itu tertuduh dalam rayuannya memohon hukuman ringan dikenakan memandangkan dia mempunyai tanggungan dan berpendapatan kecil.

Mahkamah kemudiannya menjatuhkan hukuman 15 tahun penjara dan 10 sebatan terhadap tertuduh.

Mengikut fakta kes, mangsa yang tidak boleh bergerak kedua-dua belah kakinya sejak lahir mengatakan bahawa dia dirogol oleh tertuduh pada bulan Mac 2017 iaitu seminggu selepas kematian ibu tirinya.

Sejak daripada itu, mangsa mengatakan dia telah dirogol oleh bapanya lebih 30 kali di dalam bilik tidur mangsa.

Berdasarkan siasatan, terdapat satu rakaman video tertuduh sedang merogol mangsa yang dirakam sendiri oleh remaja itu menerusi telefon bimbitnya semasa kejadian.