AYER KEROH:Seorang pesara tentera dipenjara 13 tahun dan enam sebatan selepas didapati bersalah atas dua pertuduhan merogol dan melakukan seks luar tabii terhadap anak saudara perempuannya ketika berusia 6 tahun, tujuh tahun lalu.

Hakim, Norma Ismail menetapkan hukuman itu terhadap tertuduh, yang berusia 48 tahun, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah pada akhir kes pembelaan.

Mengikut pertuduhan di bawah Seksyen  376(2)(e) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun, tertuduh didapati merogol anak saudaranya yang ketika itu berumur enam tahun di rumahnya di Melaka, pada jam 2 petang, awal Disember 2013 lalu.

Tertuduh turut didapati bersalah bagi pertuduhan kedua iaitu dia dengan sengaja melakukan persetubuhan bertentangan dengan aturan tabii ke atas kanak-kanak sama jam 2.10 petang, di tempat dan tarikh sama.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara sehingga 20 tahun dan sebat.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh pertama kali didakwa pada 25 Mei 2015 lalu ekoran kejadian terkutuknya, hanya terbongkar dua tahun selepas kejadian apabila kedua ibu bapa mangsa menyedari perubahan karakter anak perempuan mereka.

Mangsa dikatakan sering bertindak agresif dengan menekup muka adik lelakinya dengan bantal, sebelum memaklumkan dirinya diperlakukan sedemikian oleh bapa saudaranya iaitu tertuduh yang seterusnya membawa kepada pembongkaran kejadian berkenaan.


Terdahulu, pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mazuin Hashim memohon hukuman berat diberikan dengan mengambil kira umur mangsa yang baharu berusia 6 tahun ketika kejadian selain hubungan mereka yang mempunyai pertalian saudara.

Malah hujahnya, sehingga kini, mangsa yang kini berusia 13 tahun masih fobia dengan kejadian itu dan disahkan mengalami gangguan stres pasca trauma (PTSD).

Norma pada penghakimannya kemudian menetapkan hukuman penjara 13 tahun dan tiga sebatan bagi setiap pertuduhan bermula hari ini.

Seramai 18 saksi pendakwaan dan lima saksi pembelaan dikemukakan sepanjang prosiding berlangsung sejak 26 mei 2015 lalu.

Tertuduh diwakili peguam, N. Gunalan.