Christiano Ronaldo menjadi perbualan hangat di Twitter hari ini apabila pemain Portugal itu berada di Manchester untuk perlawanan persahabatan dengan Argentina di Old Trafford.

Ronaldo merupakan bekas bintang Manchester United dan mengadakan latihan semula bersama seorang lagi bekas pemain, Nani.

Ia menimbulkan perasaan teruja peminat kelab yang diberi nama jolokan the Red Devils itu.

Spekulasi terus bertiup kencang Ronaldo akan kembali semula ke Old Trafford sebagai pemain United selepas dia dilihat memakai topi berwarna merah dengan kenyataan 'Born and Bred'.


Ramai yang mentafsir tindakannya itu sebagai tanda kesetiaannya kepada United dan bayangan dia akan kembali semula ke Old Trafford.

Gambar Ronaldo dan Nani mengadakan latihan di Old Trafford trending apabila ramai yang berkongsi keterujaan kedua-dua pemain itu kembali beraksi di padang yang melonjakkan reputasi dan nama mereka.



Ini merupakan kali kedua pemain Real Madrid itu beraksi di gelanggang ini selepas berhijrah ke Real Madrid pada 2009.

Tumpuan perlawanan juga ke arah Ronaldo lawan pemain Argentina, Lionel Messi.


Kedua-dua pemain dianggap seteru dalam merebut takhta siapa pemain terhebat dalam bola sepak.

Malah Messi bermain untuk Barcelona di Sepanyol, yang juga kelab yang menjadi musuh tradisi kepada Real Madrid.

Messi juga dikatakan pesaing terdekatnya dalam merebut anugerah Ballon d'Or tahun ini.