Pendaftar Pertubuhan (RoS) lewat malam tadi mengesahkan secara bertulis bahawa DAP boleh menggunakan simbolnya untuk menyertai Pilihan Raya Umum ke-13 ini.

Perkara itu dimaklumkan oleh Ketua Parlimen parti itu, Lim Kit Siang melalui Twitter pagi ini.


Perkembangan itu dipercayai menamatkan keraguan mengenai kedudukan DAP apakah ia boleh atau tidak menggunakan simbolnya untuk bertanding.

Keraguan itu timbul selepas RoS pada Khamis memaklumkan kepada DAP bahawa ia tidak mengiktiraf pemegang-pemegang jawatan parti itu selepas pemilihan mereka pada 15 Disember dipertikaikan oleh ahli-ahlinya sendiri.

Kumpulan yang tidak bersetuju itu membuat aduan dan laporan kepada RoS dan perkara itu sedang disiasat.

Susulan itu, DAP mengumumkan akan menggunakan simbol sekutunya dalam Pakatan Rakyat selepas mendapat persetujuan Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Ia mahu memakai simbol Pas bagi calon-calonnya yang bertanding di Semenanjung manakala di Sabah dan Sarawak, simbol PKR.

DAP semalam menyampaikan dua watikah iaitu daripada parti itu sendiri dan Pas atau PKR kepada calon-calonnya yang akan dikemukakan hari ini, sebagai langkah berjaga-jaga.

DAP bertanding di 53 kerusi Parlimen dan 103 kerusi Dewan Undangan Negeri.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini juga berpendirian sama dengan RoS bahawa DAP tiada masalah untuk menggunakan simbolnya.

Sementara itu, Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin meminta DAP agar tidak "main drama" dengan cuba meraih simpati rakyat berhubung isunya dengan RoS dalam perkembangan 48 jam yang lalu.


RoS dalam kenyataannya sebelum ini menegaskan ia bukan membatalkan pendaftaran DAP sebaliknya hanya menyiasat kedudukan pemegang jawatan parti itu.