PETALING JAYA: Tujuh lelaki masing-masing didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana berhimpun secara salah dan merosakkan sebuah kereta di parkir Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dalam insiden pergaduhan, sebelum aksi Liga Super antara Selangor FC dan Perak FC, Sabtu lepas.

Majistret Nur Natasya Mohtarudin menjatuhkan hukuman itu ke atas Muhamad Ainol Syukri Shariff, 28; Mohammad Hariz Suhaimi, 36; Norbadrul Amin Norazman, 27; Muhammad Ezwan Shah Mustapa Kamal, 24; Muhammad Othman Abd Rahim, 21; Muhammad Husaini Hamdi Azizi, 21; dan Azizi Abu Hassan, 36; selepas mereka mengaku bersalah atas pertuduhan itu.

Mahkamah turut memerintahkan kesemua tertuduh menjalani hukuman penjara dua bulan jika gagal membayar denda. Mereka membayar denda itu.

Sementara itu, dua lagi tertuduh iaitu Muhammad Afiq Azman, 29, dan Muhamad Taufiq Nasharudin, 30, masing-masing mengaku tidak bersalah atas pertuduhan sama dan mahkamah membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM2,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 31 Jan depan untuk sebutan semula kes.

Mengikut pertuduhan, kesemua tertuduh sebagai ahli perhimpunan yang menyalahi undang-undang, telah merosakkan sebuah kereta jenis Honda FD milik seorang lelaki berusia 22 tahun, membabitkan nilai kerugian RM15,000 di parkir berkenaan pada 4.50 petang, 25 Nov lepas.

Pertuduhan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 149 kanun sama yang membawa hukuman penjara minimum setahun dan maksimum lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Noor Khairun Nisa Noor manakala Muhamad Ainol, Mohammad Hariz, Muhammad Afiq, Muhamad Taufiq dan Azizi diwakili peguam Ainul Farihah Azizi sementara empat lagi tertuduh tidak diwakili peguam.

Sebelum ini Bernama melaporkan polis menahan 23 lelaki disyaki terbabit dalam pergaduhan di Stadium MBPJ sebelum aksi Liga Super antara Selangor FC dan Perak FC.

-- BERNAMA