Bagi empat adiknya, Roshila Murni Rosli merupakan srikandi mereka dalam mengharungi ranjau kehidupan sebagai anak yatim piatu.

Graduan Ijazah Sarjana Muda Ekonomi Sumber Alam dari Universiti Malaysia Terengganu (UMT) berusia 26 tahun itu kembali tersenyum untuk menyambut hari lebaran selepas dua tahun mengharung dugaan kehilangan ayah, Rosli Yusof pada 2016 dan emaknya Faridah Saad, setahun sebelum itu.

"Semuanya berlaku dengan sekelip mata. Emak disahkan mengidap kanser payu dara peringkat keempat sebaik saja saya tamatkan pengajian pada 2014 dan tidak lama selepas itu, ayah pula diserang angin ahmar.

"Jadi, sebagai anak sulung bersedia atau tidak, saya terpaksa menggalas tanggungjawab sebagai ketua keluarga pada usia 23 tahun walaupun ketika itu saya mendapat tawaran bekerja di Terengganu sebagai jurulatih teakwando, namun saya tidak pernah menyesal menolaknya," katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Mengimbas kenangan menjaga ibu bapanya, beliau berkata pengalaman berulang alik ke hospital sepanjang 2015 hingga tahun lepas sangat bermakna buatnya dan adik-adik iaitu Roshila Awanis, 23, Effa Natasha dan Effa Narisha, 19, serta Muhammad ''Dee Sazali, 11.

"Pun begitu, saya tidak pernah rasa terbeban. Daripada menjaga emak dan ayah yang sakit serentak, adik-adik yang bersekolah dan dalam masa sama terpaksa bekerja mencari nafkah, semuanya saya lakukan tanpa sekelumit rasa beban.

Roshila berkata sepanjang tempoh itu pelbagai peristiwa berlaku dan ditempuhi termasuk kereta rosak, adik kembarnya yang ketika itu hendak mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) terpaksa bergilir-gilir ke sekolah dan beliau sendiri, perlu membahagikan masa di hospital dan berniaga nasi lemak untuk menambah pendapatan.

Malah katanya, beliau pernah terlibat dalam kemalangan ketika pulang dari hospital dan terpaksa membayar ganti rugi RM2,000 di saat keluarganya sangat kesempitan wang.

"Ujian datang bertimpa-timpa dan ramai yang tanya, mana saya dapat kekuatan untuk menguruskan kedua ibu bapa, empat adik-beradik serta nenek pada usia sebegitu terutama dengan pendapatan ketika itu hanya RM900.

"Apa yang saya lakukan ketika itu, hanyalah berfikiran positif. Kalau hari ini duit tidak ada, saya tawakal saja, percaya yang akan ada jalan penyelesaian. Saya cuba untuk selalu bersikap positif. Dengan menjaga mereka jugalah, saya matang dalam bersabar. Dalam masa sama, saya belajar mengenali sikap manusia terutama yang enggan membayar hutang," katanya.

Wartawan Sinar Harian di Kubang Pasu itu berkata ada satu peringkat dia juga pernah berputus asa apabila kehabisan wang untuk membeli susu yang menjadi makanan utama ayahnya.

"Tidak mengapa jika saya atau adik-adik tidak makan tetapi ayah bergantung sepenuhnya dengan susu. Saat itu, saya dan nenek betul-betul kehabisan wang. Apa yang terdaya saya lakukan, saya hanya beri ayah air kosong. Memang menitik air mata saya pada waktu itu dan buat pertama kali, saya betul-betul kecewa kerana tidak mampu melakukan sesuatu.

"Dalam masa sama, saya cuba menghubungi rakan-rakan ayah yang pernah berhutang dengannya namun semuanya sia-sia," katanya sebak.

Namun Roshila berkata perkara itu membuatkan dia semakin cekal untuk mencari nafkah dan mempercayai rezeki Allah SWT atas muka bumi ini luas sehingga nasib menyebelahinya apabila dia mendapat tawaran bekerja sebagai wartawan.

"Duit itu penting tetapi kasih sayang dan keikhlasan menjaga ayah dan ibu terutama ketika mereka sakit, melebihi segalanya. Walaupun raya tanpa ayah dan emak, tanpa kemewahan, hari lebaran bagi kami adik-beradik tetap meriah dengan cara kami tersendiri," katanya.

-- BERNAMA