Pegawai Khas Datin Seri Rosmah Mansor yang juga Saksi ke 21 perbicaraan kes solar hibrid, Datuk Rizal Mansor mendedahkan kepada Mahkamah Tinggi bahawa isteri bekas Perdana Menteri itu mengarahkannya menubuhkan satu pasukan cybertroopers dengan dana RM100,000 sebulan.

Pembayaran kepada pasukan itu dibuat Rosmah secara tunai dan diberikannya sendiri.

Menurut Rizal, pasukan cybertroopers itu ditubuhkan pada 2012 dan beliau bertanggungjawab memantau kandungan media sosial termasuk kritikan negatif terhadap isteri bekas Perdana Menteri itu.

Berita negatif yang dimaksudkan termasuklah isu beg tangan mahal, perbelanjaan majlis perkahwinan anak perempuan yang terlampau tinggi,isu keperluan untuk berjumpa beliau untuk dapatkan projek kerajaan, isu mempunyai kepentingan kewangan dalam projek kerajaan, isu beliau merupakan 'bos' kepada Datuk Seri Najib Tun Razak dan isu salah guna jet kerajaan dan pelbagai lagi.

ANDA MUNGKIN BERMINAT DENGAN ARTIKEL DI SINI:

* ROSMAH MANSOR


Menurut Rizal, sebagai Pegawai Khas kepada isteri Perdana Menteri ketika itu yang juga bertugas di bawah bahagian khas First Lady Of Malaysia (F. L. O. M), beliau juga turut menguruskan hal ehwal Rosmah dan sudah sedia maklum dengan kehendak Rosmah yang sentiasa merancang dan mengatur liputan media untuk dirinya.

Rizal berkata, liputan media itu yang dikehendaki Rosmah bukan sahaja terhad terhadap kebajikan sahaja malah untuk semua aktiviti yang menambah populariti dan meningkatkan imej beliau sebagai isteri Perdana Menteri di mata orang ramai.

Rizal berkata demikian dalam pernyataan saksi yang dibacakannya di Mahkamah Tinggi hari ini.

Menurut Rizal, di bawah bahagian F.L.O.M dia dan badan itu perlu menguruskan dan memastikan publisiti sentiasa dibuat untuk Rosmah.

Menurut Rizal, sepanjang kerjayanya di Bahagian F. L. O.M, dia mendapati setiap agensi sangat menghormati bahagian itu.

Rosmah berdepan satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima suapan sebanyak RM6.5 juta daripada Saidi.

Suapan itu didakwa diterima menerusi Rizal sebagai upah membantu Jepak Holdings mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid serta Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel bagi 369 sekolah luar bandar Sarawak bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Lygon Cafe, Sunway Putra Mall, Jalan Putra di sini, kediamannya di Jalan Langgak Duta, Taman Duta dan di Seri Perdana, Persiaran Seri Perdana, Presint 10, Putrajaya antara Januari 2016 dan 7 September 2017.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan bersambung Isnin ini.