KUALA LUMPUR: Datin Seri Rosmah Mansor mendakwa pelantikan Datuk Seri Gopal Sri Ram sebagai Timbalan Pendakwa Raya (TPR) bagi mengendalikan kes rasuah yang dihadapinya membabitkan projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion untuk sekolah luar bandar di Sarawak adalah tidak sah dan terbatal.

Isteri bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak itu mendakwa pelantikan Sri Ram oleh Peguam Negara ketika itu, Tan Sri Tommy Thomas yang dibuat secara lisan mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Prosedur Jenayah (KPJ) tidak pernah diwartakan mahupun diketengahkan semasa permohonan dan rayuan beliau untuk mendapatkan fiat (surat pelantikan) Sri Ram di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan sebelum ini.

"Pelantikan yang kononnya dikatakan oleh Thomas di bawah Seksyen 376 (3) KPJ itu sama sekali menentang logik akal yang waras, dan fiat secara bertulis di bawah seksyen itu adalah suatu keperluan wajib di bawah undang-undang bagi konteks pendakwaan terhadap saya.

"Thomas juga telah berpakat dengan Sri Ram untuk menganiaya saya dan tindakan bekas Peguam Negara itu berbohong di dalam afidavit yang diikrarkannya tidak boleh dimaafkan dan merupakan suatu penghinaan kepada mahkamah," kata Rosmah dalam afidavit yang difailkan pada 21 Mei lepas bagi menjawab afidavit diikrarkan Thomas bagi pihak Sri Ram.

Afidavit Thomas difailkan bagi menjawab permohonan Rosmah untuk membatalkan keseluruhan perbicaraan beliau dalam usaha membebaskan dirinya daripada kesemua tiga pertuduhan selain memohon Sri Ram, yang merupakan bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, digugurkan daripada mengetuai pendakwaan dalam perbicaraan kes itu.

Rosmah mendakwa Thomas menerusi bukunya 'My Story: Justice in Wilderness' yang diterbitkan pada 2021 juga mengakui bahawa pelantikan Sri Ram adalah berkaitan dengan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan bukan kes solar.

"Saya juga telah dimaklumkan bahawa dua laporan polis telah dibuat oleh Aizulhaimi Mohd Termizi dan Hamidah Osman, masing-masing bertarikh 18 Mei dan 20 Mei lepas berhubung penipuan oleh Thomas di dalam afidavitnya.

"Apa yang jelas adalah Thomas telah berkomplot dengan Sri Ram untuk memastikan agenda jahat mereka untuk menganiaya saya tercapai, sebagaimana yang mereka lakukan kepada Datuk Seri Najib Tun Razak," katanya.

Thomas, di dalam afidavit yang diikrarkannya, mendakwa Sri Ram dilantik sebagai TPR pada 2018 bagi mengendalikan kes jenayah berprofil tinggi termasuk kes solar hibrid dihadapi Rosmah dan pelantikan Sri Ram adalah mengikut Seksyen 376 (3) KPJ kerana beliau (Sri Ram) tertakluk di bawah kawalan serta arahan am bekas peguam negara itu dan berada dalam suatu kedudukan untuk menjalankan semua kuasa pendakwa raya.

Permohonan Rosmah, yang difailkan pada 6 Mei lepas, akan didengar di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan pada 3 Jun ini.

Rosmah, 69, memfailkan permohonan itu selepas Mahkamah Rayuan pada 8 April lepas membenarkan rayuannya bagi mendapatkan salinan surat pelantikan Sri Ram setelah pendakwaan bersetuju menyerahkan salinan itu kepada pembelaan.

Beliau mengemukakan rayuan itu selepas Mahkamah Tinggi pada 19 Ogos tahun lepas menolak permohonannya bagi mendapatkan surat pelantikan Sri Ram.

Surat pelantikan itu tidak bertarikh pada atau sebelum 15 Nov 2018 iaitu hari Rosmah didakwa di mahkamah serta tidak ditandatangani oleh Thomas selaku Peguam Negara ketika itu.

Sebaliknya, surat itu bertarikh 8 Julai tahun lepas dan ditandatangani oleh Tan Sri Idrus Harun iaitu Peguam Negara ketika ini.

Pada 18 Feb lepas, Mohamed Zaini memerintahkan Rosmah membela diri atas ketiga-tiga pertuduhan dan menetapkan sembilan hari iaitu 9,10,15,16,17,22, 23 Jun serta 12 dan 15 Julai bagi mendengar keterangan beliau dan saksi pembelaan yang lain.

-- BERNAMA