Isteri bekas perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor perlu hadir memberi keterangan di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya pagi ini.

Menurut sumber, Rosmah diminta hadir pada pukul 11 pagi bagi membantu siasatan SPRM.

Pada 26 Sept, Rosmah memberi keterangan kali kedua hampir 13 jam di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya bagi membantu siasatan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Rosmah sebelum ini hadir untuk memberi keterangan kepada SPRM kali pertama pada 5 Jun lepas yang mana beliau disoal siasat selama lima jam berhubung siasatan terhadap syarikat SRC International Sdn Bhd, sebuah subsidiari, 1MDB.

Akhbar sebelum ini melaporkan Rosmah dijangka berdepan lebih 20 pertuduhan jenayah, kebanyakannya membabitkan pengubahan wang haram.

Pada 20 Sept lepas, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki berkata agensi itu tidak menolak kemungkinan Rosmah akan didakwa dalam masa terdekat.

-- BERNAMA