Isteri bekas perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor hari ini sekali lagi dipanggil bagi memberi keterangan di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini.

Beliau dipanggil dipercayai berhubung dakwaan melibatkan projek hibrid solar untuk sekolah-sekolah di pedalaman Sarawak, bernilai RM1.25 bilion.

Rosmah tiba kira-kira jam 11.40 pagi.

Namun, kenderaan yang membawa beliau terus memasuki tempat letak kereta di tingkat bawah bangunan tersebut dan Rosmah tidak dilihat melalui lobi pejabat SPRM.

Hanya kelihatan, peguamnya Datuk K. Kumaraendran bersama beberapa orang di lobi berkenaan.

Rosmah sebelum ini sudah diberikan notis untuk menghadirkan diri ke SPRM dan dijangka akan ditahan sebelum dihadapkan dengan beberapa pertuduhan berkaitan projek itu ke mahkamah Khamis ini.

Rosmah tidak kelihatan di lobi bangunan ibu pejabat SPRM kerana keretanya terus memasuki tempat letak kereta di tingkat bawah bangunan. - Astro AWANI

Selain itu, SPRM turut mengeluarkan notis untuk menghadirkan diri kepada Datuk Rizal Mansor, bekas pegawai khas kepada bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak.

Kedua-dua mereka dipanggil berhubung siasatan terhadap beberapa kes penyelewengan membabitkan projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar di sekolah-sekolah di Sarawak.

Pada 11 Jun lalu, Kementerian Pendidikan memulakan proses siasatan dalaman bagi mengenal pasti individu terlibat berkaitan isu penyelewengan pemberian kontrak membekal tenaga solar dan diesel di 369 sekolah di Sarawak.