PUTRAJAYA: Datin Seri Rosmah Mansor gagal dalam rayuan akhirnya untuk menggugurkan Hakim Datuk Mohamed Zaini Mazlan daripada mendengar kes rasuah melibatkan projek solar hibrid Sarawak bernilai RM1.25 bilion.
Panel tiga hakim diketuai Datuk Nordin Hassan, bersama Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali dan Datuk Azimah Omar sebulat suara memutuskan bahawa tiada kesilapan dilakukan yang mewajarkan campur tangan Mahkamah Persekutuan.
Advertisement
Mahkamah juga memutuskan bahawa Mohamed Zaini tidak melanggar Kod Etika Hakim 2009 susulan dakwaan bahawa draf penghakiman yang bocor telah disediakan unit penyelidikan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebelum beliau menyampaikan keputusannya pada 1 Sept 2022.
"Oleh itu, rayuan ini ditolak,” kata Hakim Nordin.
Rosmah, isteri bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi menolak permohonannya untuk menggugurkan Hakim Mohamed Zaini, yang kini Hakim Mahkamah Rayuan, daripada kes berkenaan. - Bernama