IPOH: Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026-2035 memberi penekanan kepada pembangunan mahasiswa yang bukan sahaja kompeten dalam bidang akademik, malah memiliki nilai kemanusiaan dan karakter yang baik.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abd Kadir berkata, matlamat pendidikan bukan sekadar melahirkan graduan berpengetahuan dan berkemahiran, sebaliknya membentuk individu yang lebih baik serta mampu berdepan perubahan dunia serta cabaran pasaran pekerjaan.
“Matlamat pendidikan ialah untuk menjadikan diri kita orang yang lebih baik. Kalau kita belajar tetapi karakter dan perangai kita menjadi lebih teruk, itu bukan matlamat pendidikan,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) hari ini.
Beliau berkata demikian pada sesi Sembang Santai Bersama Doc Zam sempena Karnival Siswa Perak Sejahtera 3.0 di UPSI, Tanjong Malim semalam.
Zambry berkata, pendekatan berteraskan kemanusiaan atau humanity-centric itu penting bagi memastikan kecemerlangan akademik mahasiswa berjalan seiring dengan pembentukan sahsiah dan nilai diri.
Menurut Zambry, perubahan pesat teknologi termasuk perkembangan kecerdasan buatan (AI), model bahasa besar dan teknologi pengkomputeran memerlukan sistem pendidikan tinggi menyediakan mahasiswa untuk menghadapi dunia pekerjaan yang semakin berubah.
“Cabaran adik-adik hari ini lebih dahsyat daripada zaman kami. Sebab itu kita perlu membuat perubahan dalam sistem pendidikan tinggi supaya adik-adik dapat mempersiapkan diri untuk berhadapan dengannya,” katanya.
Beliau berkata, RPTM yang dirangka untuk tempoh 10 tahun akan datang turut membuka ruang pendidikan yang lebih fleksibel, termasuk membolehkan individu kembali melanjutkan pengajian selepas bekerja serta memanfaatkan laluan Pengakreditan Pembelajaran Berasaskan Pengalaman (APEL).
Menyentuh Karnival Siswa Perak Sejahtera 3.0, beliau berkata, program yang menghimpunkan 807 peserta daripada pelbagai institusi pengajian dan tingkatan enam itu menjadi platform penting untuk membina jaringan, keyakinan serta semangat kebersamaan dalam kalangan anak Perak.
Zambry berkata, kepelbagaian latar belakang peserta daripada pelbagai daerah dan kaum mencerminkan semangat perpaduan yang perlu terus diperkukuh bagi memastikan Perak mempunyai generasi pemimpin masa depan yang berdaya saing.
Sementara itu, Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff dalam kenyataan sama berkata, program berkenaan memberi ruang kepada siswa Perak untuk berkongsi pengalaman dan mendapatkan inspirasi daripada tokoh yang mempunyai pengalaman luas dalam kepimpinan serta pendidikan tinggi.
“Pertemuan seperti ini penting dalam membentuk generasi muda yang mampu menjadi pemimpin pada masa hadapan dan seterusnya menyumbang kepada pembangunan negara,” katanya.
-- BERNAMA