Skip to main content
Advertisement

Malaysia

RSV boleh cetus komplikasi, bayi dan warga emas golongan paling berisiko

PFIZER
Kesan RSV yang teruk pada peringkat awal kehidupan turut dikaitkan dengan kebimbangan pernafasan jangka panjang, termasuk episod semput berulang dan kemungkinan lebih tinggi mengalami gejala seperti asma ketika kanak-kanak. - Foto Pfizer
Advertisement

KUALA LUMPUR: Bermula seperti selesema biasa, Virus Sinsitial Respiratori (RSV) sering hadir tanpa disedari, namun jangkitan ini boleh menjadi lebih serius khususnya kepada bayi berusia bawah enam bulan dan orang dewasa berusia 60 tahun ke atas.

Hidung berair, batuk ringan dan demam antara gejala lazim RSV. Bagi kanak-kanak lebih berusia dan kebanyakan orang dewasa yang sihat, jangkitan biasanya ringan dan pulih tanpa komplikasi.

Namun, bayi yang paru-paru serta sistem imunnya masih berkembang berdepan risiko penyakit lebih serius, manakala warga emas dengan penyakit kronik seperti diabetes, asma atau penyakit jantung boleh mengalami komplikasi.

Bagi bakal ibu bapa, tempoh kehamilan sering dipenuhi persediaan mengenai kelahiran, penyusuan, penjagaan dan perkembangan bayi. Namun, kesihatan pernafasan bayi termasuk risiko RSV juga wajar dibincangkan lebih awal.

Menurut Pakar Subkepakaran Perubatan Fetal Maternal dan Perunding Obstetrik dan Ginekologi, Dr Muniswaran Ganeshan, tempoh antenatal merupakan antara masa terbaik untuk ibu bapa mendapatkan maklumat berkaitan kesihatan pernafasan bayi.

“Semasa kehamilan, ibu bapa sudah memikirkan cara memenuhi keperluan harian bayi mereka, termasuk penyusuan, tidur, tumbesaran dan penjagaan am.  

“Kesihatan pernafasan bayi juga perlu menjadi sebahagian daripada pemahaman yang lebih menyeluruh itu. Penjagaan antenatal juga boleh merangkumi perbincangan lebih luas Bersama profesional penjagaan kesihatan mengenai kesihatan pernafasan bayi, termasuk jangkitan  pernafasan seperti RSV.

“Apabila ibu bapa diperkenalkan kepada perbincangan ini lebih awal, mereka boleh memasuki fasa awal keibubapaan dengan maklumat dan keyakinan yang lebih baik,” katanya menerusi sebuah kenyataan media.

Bayi bawah enam bulan mempunyai paru-paru yang masih kurang matang, saluran pernafasan yang kecil dan sistem imun yang belum mampu memberikan pertahanan kukuh terhadap jangkitan pernafasan, menjadikan perubahan kecil seperti kesukaran menyusu atau pernafasan lebih laju sesuatu yang perlu diberi perhatian.

RSV menjadi lebih membimbangkan apabila mula menjejaskan keupayaan bayi untuk bernafas dan menyusu. Menurut Pakar Perunding Pediatrik dan Neonatologi, Dr Masri Muhamed, bayi yang mengalami jangkitan lebih serius mungkin memerlukan sokongan oksigen, nebulisasi, penyedutan  hingus serta pemantauan rapi, manakala kes tertentu memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU).

“Di hospital, RSV bukan sekadar batuk yang berlarutan terlalu lama. 

“Tiada satu rawatan khusus yang dapat menyembuhkan RSV dengan serta-merta, jadi penjagaan biasanya bersifat sokongan dan memberi tumpuan kepada membantu bayi bernafas serta kekal terhidrat.

“Kami melihat bayi yang bernafas dengan cepat, kurang menyusu dan memerlukan sokongan oksigen, nebulisasi atau penyedutan hidung kerana mereka tidak dapat mengeluarkan mukus  sendiri.

“Sesetengah bayi memerlukan pemantauan rapat dan berterusan. Dalam sebilangan kecil kes yang lebih serius, kemasukan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) diperlukan kerana usaha untuk bernafas menjadi terlalu berat untuk bayi meneruskannya tanpa sokongan perubatan,” jelasnya.

Kesan RSV yang teruk pada peringkat awal kehidupan turut dikaitkan dengan kebimbangan pernafasan jangka panjang, termasuk episod semput berulang dan kemungkinan lebih tinggi mengalami gejala seperti asma ketika kanak-kanak.

Image
PFIZER
Bayi berusia bawah enam bulan dan orang dewasa berusia 60 tahun ke atas merupakan golongan paling berisiko dijangkiti RSV. - Foto Pfizer

Sementara itu, Pakar Perunding Geriatrik dan Perubatan Dalaman, Dr Quah Jing Yao berkata golongan berusia 60 tahun ke atas lebih terdedah kepada komplikasi RSV, terutama mereka yang mempunyai penyakit kronik atau berada dalam keadaan rapuh.

“Orang dewasa berusia 60 tahun ke atas mungkin mengalami penyakit yang lebih ketara akibat RSV kerana penuaan boleh mengurangkan keupayaan tubuh untuk pulih daripada jangkitan.

“Ramai warga emas juga hidup dalam keadaan rapuh atau mempunyai penyakit kronik seperti diabetes, penyakit jantung atau penyakit paru-paru kronik, yang boleh meningkatkan Risiko komplikasi.

“Dalam kumpulan usia ini, RSV tidak semestinya muncul sebagai jangkitan pernafasan tipikal dan kadangkala boleh menyebabkan kemerosotan mendadak dalam kesihatan, mobiliti dan keupayaan berdikari,” ujarnya.

Keletihan luar biasa, batuk berterusan, sesak nafas atau penurunan tenaga dan tahap kewaspadaan boleh berlaku, namun gejala ini mudah disalah anggap sebagai keletihan, selesema ringan atau kesan usia.

Dalam keluarga Malaysia yang tinggal merentas dua atau tiga generasi, perkara itu amat relevan kerana RSV boleh merebak daripada kanak-kanak kepada ahli keluarga lain. Apa yang mungkin hanya menyebabkan ketidakselesaan selama beberapa hari kepada kanak-kanak sihat boleh menjadi lebih serius bagi warga emas yang mempunyai penyakit sedia ada.

RSV sememangnya biasa dan kebanyakannya pulih tanpa kesukaran berpanjangan, namun mengenali tanda awal dapat membantu keluarga mengetahui bila perlu mendapatkan nasihat perubatan.

Bagi keluarga yang bakal menerima cahaya mata atau menjaga warga emas dengan masalahkesihatan sedia ada, berbincang dengan doktor atau profesional penjagaan kesihatan merupakan langkah terbaik untuk memahami risiko dan perancangan kesihatan pernafasan yang sesuai.

*Bahan ini bertujuan semata-mata untuk meningkatkan kesedaran umum tentang penyakit dan memberikan pendidikan kesihatan awam. Bahan ini tidak mempromosikan sebarang ubat, vaksin, jenama atau rawatan tertentu. Keputusan berkaitan vaksinasi hendaklah dibuat setelah berunding dengan profesional penjagaan kesihatan yang berkelayakan, selaras dengan garis panduan tempatan.

Must Watch Video

Advertisement