Skip to main content

Malaysia

RTB Sungai Nyiur mula pembinaan Ogos 2027, tangani banjir kilat di Butterworth

FB Zairil Khir Johari
Zairil berkata, projek RTB Sungai Nyiur merupakan antara projek keutamaan kerajaan negeri Pulau Pinang dalam usaha menangani masalah banjir di lokasi berisiko tinggi di Seberang Perai Utara. - Facebook Zairil
Advertisement

BUTTERWORTH: Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Nyiur bernilai RM161 juta bertujuan mengatasi masalah banjir kilat di beberapa lokasi titik panas di sini, dijangka memulakan kerja pembinaan pada Ogos tahun depan.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital Pulau Pinang Zairil Khir Johari berkata projek dijangka siap sepenuhnya pada Ogos 2030 itu kini berada pada peringkat reka bentuk terperinci yang bermula Mei lepas.

"Jangkaan iklan tender ialah pada April 2027, manakala tarikh mula kerja pembinaan dijangka pada Ogos tahun depan dengan tempoh pembinaan selama 36 bulan iaitu projek siap pula adalah sekitar Ogos 2030," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata apabila siap kelak, projek itu bakal menangani kawasan berisiko tinggi banjir antaranya Jalan Thamby Kecil, Jalan Siram, Sekolah Kebangsaan (SK) Convent Butterworth, Kampung Muniammah (Jalan Siram) dan Kampung Sungai Nyiur.

"Ini sekali gus mengurangkan risiko banjir yang menjejaskan kehidupan rakyat serta meningkatkan tahap keselamatan dan kesejahteraan penduduk setempat," katanya.

Dalam Belanjawan 2026, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan RM2.2 bilion bagi meneruskan 43 projek RTB berkeutamaan tinggi di seluruh negara, termasuk RTB Sungai Nyiur.

Zairil berkata projek RTB Sungai Nyiur, dengan kos keseluruhan diluluskan sebanyak RM161 juta, merupakan antara projek keutamaan kerajaan negeri dalam usaha menangani masalah banjir di lokasi berisiko tinggi di SPU.

 

Katanya, reka bentuk projek tersebut turut mengambil kira faktor perubahan iklim, termasuk peningkatan intensiti hujan dan perubahan corak cuaca bagi memastikan tahap perlindungan yang optimum.

"Projek itu terletak dalam lembangan Sungai Nyiur meliputi sublembangan Sungai Perai yang merangkumi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Dalam, Bagan Jermal dan Sungai Puyu serta Parlimen Bagan," katanya.

Beliau berkata keadaan sering menjadi lebih buruk apabila hujan lebat berlaku serentak dengan fenomena air pasang besar, yang mengakibatkan pertembungan air di muara Sungai Nyiur berhampiran Sungai Perai.

"Keadaan menjadi lebih buruk apabila hujan lebat berlaku serentak dengan air pasang besar yang mengakibatkan pertembungan air laut di muara Sungai Nyiur berhampiran Sungai Perai, jadi pelaksanaan projek RTB itu akan meningkatkan tahap keselamatan serta kesejahteraan penduduk setempat," katanya.

 

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kesihatan Pulau Pinang Daniel Gooi Zi Sen berkata pembinaan Klinik Kesihatan (Jenis 2) Kubang Semang dan Kompleks Kesihatan Bersepadu Seberang Perai Tengah (SPT) turut diumumkan dalam Belanjawan 2026 dengan kos keseluruhan RM94.6 juta.

Beliau berkata ketika ini kedua-dua projek di bawah Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) Rancangan Pembangunan (RP) 1 2026 itu masih di peringkat awal dengan kerja-kerja penyiasatan tanah sedang dijalankan.

"Apabila siap kelak, projek tersebut dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 63,101 penduduk di kawasan Kubang Semang berdasarkan data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) 2023," katanya.

Katanya, pembangunan kedua-dua kemudahan itu penting dalam usaha memperkukuh penyampaian perkhidmatan kesihatan kepada penduduk di kawasan SPT.

Menurutnya, klinik itu boleh mengendalikan kapasiti pesakit lebih besar dengan anggaran 500 hingga 800 pesakit sehari serta menyediakan skop perkhidmatan kepakaran kesihatan primer yang meluas.

Daniel berkata Kompleks Kesihatan Bersepadu SPT pula akan berfungsi sebagai hab bersepadu bagi memusatkan perkhidmatan sokongan klinikal dan pengurusan kesihatan daerah, sekali gus mengurangkan kesesakan di hospital berpakar berdekatan khususnya Hospital Seberang Jaya.

-- BERNAMA 

 

 

 

Must Watch Video

Advertisement